KALAULAH SAYA SUAMI SEORANG MENTERI…


Terima kasih Azam Baki – itulah ratib saya 24 jam sehari tanpa henti jika pada waktu ini saya adalah suami kepada seorang menteri dalam kerajaan madani.


Tidak cukup dengan itu, saya juga akan menghantar kalungan bunga ke pejabatnya sebagai tanda terima kasih itu.


Kemudian, saya akan menghubungi pejabat beliau untuk mengajaknya makan malam di mana-mana restoran ternama di ibu kota.


Sebagai suami kepada seorang menteri, saya tidak fikir Azam Baki akan menolak pelawaan saya, lagi pun saya bukan nak meniaga apa-apa dengannya.


Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih saja kepadanya, biasalah ucapan terima kasih kadang-kadang tak cukup dengan lafaz di mulut saja.


Budaya orang meniaga seperti saya, terima kasih selalunya wajib disertai dengan makan yang sedap-sedap sambil diselangi gelak ketawa umpama dunia ini kami yang punya.


Sesungguhnya saya amat terharu dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu semalam yang mengatakan tidak menjadi kesalahan bagi suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang baru-baru ini beroleh kontrak projek pengangkutan daripada kerajaan Negeri Selangor.


Azam Baki dipetik sebagai berkata, syarikat suami Hannah Yeoh itu, Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti), tidak menerima projek berkenaan daripada kementerian isterinya, tetapi daripada kerajaan negeri Selangor.


Oleh yang demikian, kata beliau, tiada sebarang kesalahan mengikut undang-undang dalam pemberian kontrak kepada syarikat milik bersama suami Hannah Yeoh itu.


“Saya tidak mengetahui lebih lanjut mengenai kes itu tetapi apa yang ingin saya katakan, sekiranya satu kontrak yang tiada kena mengena dengan tugas pihak yang dibangkitkan, ia bukanlah satu kesalahan.


“Saya tidak nampak ia ada kaitan antara kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi ia berlainan sekiranya KBS yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan,” ujar beliau.


Saya percaya suami Hannah Yeoh pun akan berterima kasih kepada Azam Baki.


Dengan pencerahan Azam Baki itu, ia adalah suatu kelegaan kepada saya dan suami menteri-menteri dalam kerajaan madani yang lain.


Macam saya, saya sudah meniaga lama sebelum ini lagi dan perniagaan adalah mata pencarian saya untuk menyara keluarga.


Tentulah tidak adil hanya kerana isteri saya seorang menteri, saya langsung tidak boleh meniaga dengan kerajaan.


Selain perniagaan memang kerjaya saya, semua orang juga harus faham, sebagai suami kepada seorang menteri, saya dan suami-suami senasib dengan saya sebenarnya banyak berkorban dalam kehidupan demi kesejahteraan rakyat serta negara.


Tidak seperti isteri orang lain, isteri saya lebih kerap bekerja dan bersama rakyat berbanding berada di rumah.


Jika dalam keadaan itu, tidak dibenarkan pula berniaga dengan kerajaan…memang zalim sangatlah namanya.


Betul seperti kata Azam, yang tidak boleh ialah jika kontrak diperolehi daripada kementerian di mana pasangan kami bekerja.


Dalam hal ini, sama macam suami Hannah Yeoh, saya pun tahu etika dan bagaimana menjaga nama baik isteri saya.


Takkanlah saya nak mencari kontrak di kementerian isteri saya?


Kementerian lain atau di negeri lain bukankah masih banyak lagi peluang perniagaan boleh dicari?


Lagi pun, semua orang dalam kerajaan kenal saya adalah suami kepada seorang menteri kerajaan madani, maka tentulah mudah saya mahu berurus niaga di mana-mana saja.


Dengan kontrak yang saya perolehi di mana-mana jabatan kerajaan, negeri atau kementerian lain, anggaplah ia sebagai ganjaran terhadap pengorbanan saya membenarkan isteri saya aktif dalam dunia politik.


Janganlah asyik nak kritik saya, selamilah sama jiwa saya dan suami menteri-menteri yang lain.


Melalui kenyataan Azam Baki semalam juga, ertinya bukan saja pasangan kepada menteri boleh terus menjalankan perniagaan di tempat bukan pasangan mereka bertugas, anak-anak kami juga tentulah tidak salah untuk turut sama menjalankan perniagaan.


Yang tak boleh hanya berurusniaga di kementerian tempat ibu bapa mereka bekerja.


Di kementerian lain, negeri lain atau jabatan kerajaan lain…silakanlah!


Dengan kami sebagai suami dan anak kepada menteri tidak dihalang daripada berniaga dengan kerajaan, barulah ini dinamakan mengembangkan ekonomi secara seimbang.


Walaun-walaun apa tau?


Maknanya, orang biasa boleh meniaga dengan kerajaan, kami pun boleh sama meniaga dengan kerajaan.


Nampaknya Azam Baki betul-betul faham apa itu tata kelola sebagaimana yang kerap diucapkan oleh PMX sejak lebih setahun yang lalu.


Sekarang barulah saya faham juga kenapa kontrak Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM telah disambung sebanyak dua kali.


Kini saya berharap Azam Baki terus disambung lagi perkhidmatannta bila kontraknya tamat tahun depan nanti, malah kalau boleh, biarlah hingga ke akhir hayatnya.


Selagi Azam Baki ada, kami akan sentiasa ‘happy’.. – ShahbudinHusin 28Mei2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/05/28/kalaulah-saya-suami-seorang-menteri.html



No comments:

Post a Comment