Dulu ketika era BN berkuasa, ada seorang menteri bernama Hasan Malek menerima kutukan yang agak lama berikutannya cadangannya agar rakyat berhenti makan ayam ketika harga makanan itu mahal di pasaran.
Sebaliknya, beliau meminta rakyat agar menukar kepada makan ikan atau daging.
Idea Hasan Malek itu mendapat kecaman yang teruk kerana apa yang rakyat mahukan ialah agar kerajaan ketika itu, khususnya melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan yang diterajuinya melakukan sesuatu untuk menangani kenaikan harga ayam yang tinggi di pasaran.
Lagi pun, mencadangkan rakyat makan ikan dan ayam lebih tidak munasabah kerana harganya jauh lebih mahal daripada harga ayam.
Lalu, Hasan Malek pada waktu itu digelar sebagai menteri cap ayam.
Kini, episod yang hampir sama berulang kembali, cuma kali ini bukan dilakukan oleh menteri, tetapi oleh Speaker Parlimen.
Speaker berkenaan, Johari Abdul mencadangkan rakyat agar menggantikan nasi dengan sumber karbohidrat lain seperti ubi kayu bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.
Beliau berkata, ubi kayu dilihat mampu menjadi alternatif terbaik sebagai sumber karbohidrat disebabkan khasiatnya yang lebih tinggi berbanding beras.
“Kalau beras menjadi isu, apa tujuan kita makan beras…untuk dapatkan karbohidrat.
“Saya rasa ada alternatif lain sementara kita nak selesaikan isu beras, iaitu makan ubi kayu,” katanya.
Adoiii…kenapalah cadangan sebegini boleh dilontarkan?
Dulu datuk nenek dan mak ayah kita dulu dah puas makan ubi kayu ketika zaman Jepun, kenapa sekarang nak diajak rakyat berundur ke belakang semula?
Kalau dicadangkan makan kentang dengan daging wagyu, kemudian kerajaan pula beri diskaun rahmah pada harganya, sedaplah juga telinga mendengarnya.
Ini yang nak suruh rakyat makan ubi kayu, ada berapa luas ladang ubi kayu di negara kita?
Kalau ubi kayu sekadar ada ditanam di keliling rumah dan di tepi-tepi bendang, tak usahlah nak dicadangkan ia sebagai ganti beras.
Munasabahlah sikit kalau ia pun sebagai Speaker Parlimen, namun Johari ingin juga nak memberi cadangan dalam masalah yang dihadapi kerajaan.
Janganlah bagi cadangan yang tak masuk akal, bahkan dengan melontarkan cadangan begini, meskipun kononnya daripada pemikiran di luar kotak seorang Speaker, ia sebenarnya lebih menyerlahkan ketidakmampuan kerajaan menangani kekurangan bekalan beras di pasaran.
Sama seperti isu harga ayam mahal ketika zaman Hasan Malek jadi menteri dulu yang mana apa yang dimahukan rakyat ialah agar kerajaan berbuat sesuatu menstabilkan harganya supaya dapat l selesa dibeli oleh orang kebanyakan, apa yang rakyat inginkan juga dalam masalah beras ini ialah kerajaan wajib mencari jalan mengatasi masalah bekalannya.
Mencadangkan agar rakyat makan ubi kayu bukan saja tidak munasabah, bahkan terlihat pelik – sama pelik ketika Hasan Malek mencadangkan makan ikan atau daging sebagai ganti ayam sebelum ini.
Tuan Speaker yang dihormati, janganlah bangga nak jadi Hasan Malek nombor dua di era kerajaan madani ini. – ShahbudinHusin 07/04/2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/04/07/tuan-speaker-janganlah-jadi-hasan-malek-nombor-dua.html