FAHAMAN BERBEZA JADI KEKALUTAN



 Tersebar video berkaitan ada agamawan berduet menyanyi secara terbuka dengan artis wanita. Pelbagai respon yang muncul. Ada ilmuan yang sebelum ini teguh dengan disiplin bermazhab Syafie pun turut membela perbuatan itu walaupun hakikatnya perbuatan itu bercanggah dengan mazhab Syafie, atas alasan ada keluasan pandangan lain dalam masalah ini. 


Ada pula ilmuan yang diberikan keberanian mengkritik perbuatan tersebut walaupun dari aliran yang sama. 


Sebelum ini ada pihak selalu membantah asatizah Perlis yang terbuka dengan mazhab Fiqh. Tegas mereka kita perlu berpegang dengan mazhab Syafie. Bahkan ketika saya menyebut beberapa pandangan fiqh yang bercanggah dengan pandangan muktamad mazhab Syafie namun bertepatan dengan ulamak yang lain, saya dikecam hebat dalam beberapa isu. 


Kali ini apabila ada ustaz kalian berduet dengan perempuan bukan mahram dengan alunan muzik, kalian diuji dengan pendirian mazhab sendiri. Menurut mazhab Syafie muzik seperti gitar adalah haram. Dua soalan untuk agamawan yang membela perbuatan ini:


1. Adakah perbuatan ustaz kalian itu haram? Jika haram maka nyatakan ia haram.

2. Jika tidak haram, adakah kalian memakai mazhab minoriti? Kenapa pakai mazhab minoriti dalam bab muzik? Adakah menurut kalian pandangan imam Syafie yang tegas dengan muzik tidak sesuai dalam menghadapi cabaran semasa sehingga perlu mengetepikan pandangan beliau? 


Sila jawab secara jujur. 


Itu baru bab muzik seperti gitar. Kita belum masuk bab nyanyian wanita dewasa melunakkan suara di hadapan lelaki bukan mahram lagi.


Dr Rozaimi Ramle