LANGKAH menjadikan Pangkalan Data Utama (Padu)
sebagai komponen untuk menyampaikan subsidi bersasar belum tentu akan
meningkatkan sokongan pengundi terhadap parti-parti dalam kerajaan perpaduan,
kata penganalisis politik.
Penganalisis percaya pengundi yang
tergolong dalam kategori miskin, terutamanya dari negeri-negeri majoriti
Melayu, akan terus setia kepada parti mereka walaupun kerajaan menyalurkan
lebih banyak bantuan kewangan.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomudin
Bakar berkata, walau berapa banyak pun bantuan disalurkan belum tentu usaha
kerajaan itu akan berjaya mempengaruhi pengundi ini supaya mengalih sokongan
kepada parti-parti yang membentuk kerajaan perpaduan.
“Kerajaan berharap Padu akan membuahkan hasil,
rakyat akan menghargainya dan memberi peluang kepada mereka untuk terus
memerintah sepenggal lagi.
“Tetapi saya bimbang kerana perkara sebaliknya
boleh berlaku,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Padu adalah sistem yang mengumpul profil
individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap berumur 18
tahun ke atas di Malaysia. Ia bertujuan menjadi sumber utama kerajaan dalam
pengagihan subsidi dan penyaluran bantuan secara bersasar.
Sehingga 31 Mac, sebanyak 17.65 juta atau
58.7% keseluruhan profil rakyat termasuk ahli isi rumah bawah 18 tahun berjaya
dikemas kini dalam sistem Padu.
Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian
Ekonomi pada 1 April, Perlis merekodkan peratusan tertinggi dengan 66.9%
diikuti Kelantan (65.2%), Terengganu (62.7%) dan Perak 60.3%.
Bagi negeri-negeri lain, Kedah merekodkan
58.9%, Putrajaya (56.5%), Negeri Sembilan (56.2%), Labuan (55.2%), Melaka
(53.0%), Pulau Pinang (52.9%), Sabah (52.8%), Johor (48.4%), Kuala Lumpur
(47.6%), Sarawak (46.7%) sementara Selangor tercorot dengan 44.5%.
Mengulas lanjut, Hisomudin berkata hasrat
kerajaan mahu memastikan hanya individu yang benar-benar layak menikmati
subsidi dan pada masa yang sama mencegah ketirisan mungkin tidak begitu difahami
serta diterima dengan baik oleh rakyat.
Keadaan ini boleh berlaku sekiranya penerangan
oleh kerajaan tidak begitu meyakinkan, dan pelaksanaan Padu tidak berjalan
dengan lancar yang seterusnya akan membawa kepada “bencana”, katanya.
Antara perkara yang membimbangkan rakyat
adalah pelasanaan subsidi bersasar untuk bahan api.
Hisomudin berkata jika ia dilaksanakan,
subsidi bersasar bahan api akan menyebabkan rakyat teruk terjejas akibat kesan
segera ekoran kos sara yang hidup lebih tinggi, yang mana hanya akan dirasai
oleh rakyat kumpulan B40 dan M40.
“Abaikan kumpulan T20 kerana golongan ini
tidak akan terjejas sangat kerana mereka berkemampuan. Tetapi kumpulan M40,
terutamanya penjawat awam, guru, anggota pasukan beruniform, yang majoritinya
adalah Melayu, mereka ini antara yang akan terjejas teruk,” katanya.
“Kesan rantaian ekonomi dan pengapungan harga
bahan api juga berkait dengan harga komoditi dan inflasi. Pendek kata, langkah
ini tidak popular dan berisiko.
“Bagi kumpulan B40, jika sikap mereka masih
tidak berubah, maka mereka akan ambil bantuan tetapi tetap terus undi
pembangkang.
“Dari sudut politik, ini akan jadi tamparan
berganda kepada kerajaan, iaitu harapan untuk mendapatkan undi B40 berkecai,
malah mereka juga akan hilang undi M40 dan T20 yang mengundi mereka pada
pilihan raya lalu.
“Ini belum lagi mengambil kira usaha
pembangkang untuk mengambil kesempatan daripada ‘gelombang’ yang mungkin
tercetus ekoran rasa tidak puas hati,” tambah beliau.
Memetik keputusan pilihan raya tempatan Turkiye,
Hisomudin berkata ia jelas menandakan parti pemerintah negara itu sudah hilang
cengkaman kuasa dan pengaruh kerana gagal menangani isu-isu rakyat.
Tambah beliau, peningkatan harga barangan,
nilai mata wang yang rendah dan inflasi telah menyumbang kepada kekalahan parti
pemerintah Turkiye.
“Ini juga boleh berlaku kepada kerajaan
perpaduan. Jika komunikasi strategik kerajaan gagal menangani semua kebimbangan
dan keraguan rakyat dengan cepat dan berkesan, saya bimbang ini akan
mendatangkan masalah.
“Lihat sahaja Padu, ia dikritik oleh Gabungan
Parti Sarawak dan ahli Parlimen Tanjung Piai dari Barisan Nasional, yang
merupakan parti komponen kerajaan perpaduan.
“Perkembangan ini tidak begitu bagus, dan
menunjukkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan gagal berfungsi dengan baik dalam
menyelaras maklumat dalam kalangan anggota mereka,” kata Hisomudin. – 10 April,
2024.
Sumber –
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/481758