PRK KUALA KUBU BAHARU LALUAN SUKAR BAGI PH/DAP

 

PRK Kuala Kubu Baharu yang telah ditetapkan tarikh pengundiannya pada 11 Mei depan diramalkan akan menjadi laluan getir kepada PH yang dijangka mengekalkan calon daripada DAP bertanding di kawasan tersebut.

Tarikh 11 Mei yang dipilih SPR itu bersamaan dengan tarikh ulangtahun kelahiran UMNO.

Pada PRN lepas, calon PH daripada DAP, Lee Kee Hiong menang di Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 4,119 undi.

Lee meninggal dunia baru-baru ini akibat kanser.

Beliau yang ketika itu memperolehi 14,862 undi menewaskan Teoh Kien Hong (Gerakan-PN) yang mendapat 10, 743 undi, calon PRM, Chng Bon Lai (527 undi) dan calon Muda, Siva Prakash Ramasamy (1,186 undi).

Meskipun Dun Kuala Kubu Baharu ditandingi oleh calon-calon bukan Melayu, tetapi komposisi pengundinya yang seramai 40,226 orang ialah Melayu 46 peratus, Cina 30 peratus, India 18 peratus dan lain-lain 5 peratus.

Ini bermakna faktor kemenangan calon nanti banyak ditentukan oleh sokongan pengundi Melayu, terutama jika kedua-dua parti masih kekal untuk meletakkan pemimpin Cina sebagai calon masing-masing.

Untuk PRK kali ini juga, pertembungan dijangka hanya melibatkan PH dan PN saja dan oleh yang demikian, perebutan untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu pasti lebih sengit sengit.

Sebagaimana disedari semua, hubungan antara UMNO dan DAP tidak begitu baik kebelakangan ini, terutama sejak meletusnya isu stoking berfulis kalimah Allah dengan pemimpin kedua-dua parti saling berbeza pendapat sebelum ini, PRK Kuala Kubu Baharu akan menentukan sama ia menerima kesannya atau pun tidak.

Meskipun isu berkenaan sudah mulai mereda, tetapi Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh masih menyeru agar diteruskan pemboikotan terhadap KK Mart.

Ia sudah tentu mencetuskan persengketaan secara diam yang berpanjangan antara sesetengah kelompok Melayu dan Cina.

Isunya, jika PH terus meletakkan calon Cina daripada DAP di Kuala Kubu Baharu, apakah pengundi Melayu, khususnya penyokong-penyokong UMNO sedia memberikan undi mereka kepada calon berkenaan?

Tidak mustahilkah akan ada segelintir pengundi Melayu bakal memboikot DAP, sama seperti mereka memboikot KK Mart?

Atau pengundi Melayu akan beralih kepada calon Cina lain daripada Gerakan-PN?

Bagaimana pula jika PN kali ini menukar calonnya kepada Melayu, sama ada daripada Pas atau Bersatu?

Mungkinkah nanti DAP juga akan turut meletakkan seorang calon Melayu di Kuala Kubu Baharu? – ShahbudinHusin 04/04/2024.