Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandang
serius isu tular pembuangan beras dan barang keperluan lain di suatu lokasi di
Temerloh, Pahang kerana sebarang langkah pelupusan bahan makanan asas negara
itu perlu dirujuk kepada Kawalselia Padi dan Beras (KPB).
Kementerian dalam kenyataan berkata isu tersebut masih dalam
siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan menasihatkan orang ramai
tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu.
"KPKM memandang serius isu tular yang berlaku dan mengambil
langkah segera dengan menjalankan siasatan melalui KPB Cawangan Temerloh ke
lapangan. Turut hadir ke lokasi adalah pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal
dan Pembersihan Awam (SWCorp).
"Lokasi kejadian tersebut berlaku di tempat pembuangan sampah
berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur - Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh,
Pahang. Berdasarkan penemuan awal, pihak KPB Cawangan Temerloh mendapati bahawa
beras-beras tersebut telah rosak dan tidak sesuai serta tidak selamat untuk
dimakan," kata kenyataan itu.
Terdahulu pagi ini, bekas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri
Ismail Mohamed Said dalam kenyataan mengakui beras yang dibuang itu adalah
miliknya yang sebelum ini disimpan secara pukul untuk memenuhi keperluan
penduduk di kawasannya.
Ismail berkata, barangan dapur itu terpaksa dilupuskan kerana
sudah rosak dan tidak lagi sesuai untuk diagihkan.
Katanya pembelian barangan dapur itu tidak melibatkan peruntukan
Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri Pahang serta tidak melibatkan
peruntukan barangan dalam tempoh Covid-19 atau persiapan menghadapi banjir
"Barangan dapur ini disediakan menggunakan peruntukan
peribadi, sebelum tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada tahun 2022.
"Umum mengetahui bahawa dalam tempoh berkempen tiada sebarang
pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.
"Saya mengambil tanggungjawab dan sangat menyesali perkara
ini dan memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafan dalam memantau cara
pelupusan barangan dapur berkenaan," katanya.
Untuk rekod, Ismail memegang kerusi Parlimen Kuala Krau selama
empat penggal bersama Barisan Nasional sebelum tewas kepada calon Perikatan
Nasional, Kamal Ashaari pada Pilihan Raya Umum ke-15.
·
beras