Oleh: Abdullah Zaid
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri
Anwar Ibrahim menegaskan tidak mahu terlibat dengan perbincangan berkaitan
Titah Adendum atau tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong berkenaan tahanan di
rumah terhadap bekas PM Najib Razak.
Ahli Parlimen Tambun itu
sebaliknya berkata, perkara tersebut adalah bidang kuasa Lembaga Pengampunan
Wilayah Persekutuan dan melibatkan Yang di-Pertuan Agong serta Raja Raja
Melayu.
"Saya tak mahu terlibat
soal perbincangan Titah Adendum kerana ini bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan
wewenang sepenuhnya Yang di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu.
"Oleh itu semua pihak
sepatutnya terima kenyataan tersebut dan terus dengan tumpuan kita untuk jamin
keamanan, perkukuhkan kestabilan politik dan membangunkan negara," katanya
kepada pemberita usai solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi
Kajang, Selangor, petang tadi.
Selain itu, berkenaan afidavit
yang difailkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi, Perdana
Menteri berkata beliau juga maklum dengan perkara berkenaan.
Namun katanya, pendirian
kerajaan adalah tidak mencabar sebarang keputusan melibatkan institusi beraja
di mahkamah, selain menjelaskan afidavit yang dibawa Zahid Hamidi atas
kapasitinya sebagai Presiden UMNO.
"Urusan Raja-Raja tidak
harus dicabar jadi sebab itu saya tidak mahu ulas selain menyatakan ini prinsip
kerajaan sejak merdeka," katanya lagi.
Menerusi afidavit dibawa Ahmad
Zahid pada 9 April lalu, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku
Abdul Aziz ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country
Heights, 30 Januari tahun lalu.
Zahid dilaporkan berkata,
beliau melihat dan membaca Titah Adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.