Oleh: Azuan Ab Rahman
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan
kesyukuran kerana Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir
Al-Nuri Kamaruzaman dapat bersatu semula dengan keluarganya.
"Alhamdulillah, keluarga saudara Nadir berjaya
disatukan," kata Anwar
Kegembiraan itu dikongsikan Anwar dalam hantarannya di Facebook
sebagai membalas hantaran media sosial Muhammad Nadir yang mendedahkan beliau
telah disatukan semula dengan keluarganya susulan satu 'Misi Gila' dilaksana
kerajaan bagi membawa keluar keluarganya dari wilayah bergolak Gaza.
Muhammad Nadir dalam catatan '183 Hari Yang Panjang' menerusi
hantaran di akaun Facebook serta Instragram beliau malam tadi telah mendedahkan
Anwar adalah individu penting yang memainkan peranan utama dalam misi sukar
tersebut.
Beliau turut menyatakan rasa kagum terhadap diplomasi dimainkan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar sehingga membolehkan misi itu dijalankan
dengan sangat cepat, teratur dan lancar.
Sementara itu Anwar melalui hantaran di laman sosialnya turut
menyatakan penghargaan kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi dan Kerajaan
Mesir atas kerjasama yang diberikan, dalam membawa keluarga Muhammad Nadir
Al-Nuri keluar dari kawasan bergolak itu.