Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu
menyemak dengan Perbendaharaan berhubung pemilikan saham bekas Setiausaha
Politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam syarikat HeiTech Padu Bhd
dan kaitannya dengan kontrak kerajaan bernilai RM1 bilion, adalah suatu sikap
yang terpuji.
Hal itu sekaligus
memperlihatkan Anwar sentiasa berpegang kepada ketelusan dalam kerajaan
pimpinannya.
Mengulas mengenai dakwaan
terhadap Farhash yang baru-baru ini dilaporkan membeli kepentingan 15.9% dalam
HeiTech Padu yang mana syarikat itu dikatakan dalam senarai pendek untuk
kontrak dengan Jabatan Imigresen bernilai RM1 bilion, Anwar yang juga Menteri
Kewangan berkata, beliau akan menyemak perkara itu dengan Perbendaharaan
terlebih dahulu.
Tegasnya, beliau hanya akan
mengeluarkan kenyataan selepas memperolehi maklumat lanjut mengenai perkara
itu.
"Saya akan semak butiran
dengan Perbendaharaan dan akan keluarkan kenyataan kemudian," katanya.
Semak butiran dengan Perbendaharaan
Pertama, apabila Anwar ingin
menyemak dengan Perbendaharaan, ia bererti pembelian saham oleh Farhash dalam
Heitech Padu itu adalah di luar pengetahuan beliau, jauh sekali merupakan
pertolongan daripadanya.
Hal itu dengan jelas
menunjukkan urusniaga pembelian saham adalah atas daya usaha Farhash sendiri
yang memang sebelum ini merupakan seorang ahli perniagaan.
Kontrak kerajaan
Kedua, berhubung dakwaan
pembelian saham HeiTech Padu itu dikatakan ada kaitan dengan kontrak kerajaan
bernilai RM1 bilion, Anwar secara jelas menunjukkan ketelusannya dengan ingin
menyemak terlebih dahulu perkara tersebut.
Bermakna, Anwar ingin
mengetahui fakta terlebih dahulu tentang dakwaan yang dibuat terhadap bekas
pegawainya itu.
Yang ketiga, janji Anwar akan
mengeluarkan kenyataan media setelah memperolehi segala fakta berkaitan, tidak
lain merupakan suatu bukti ketelusan dan tidak ingin menyembunyikan sebarang
rahsia daripada pengetahuan rakyat.
Segala kenyataan yang bakal
dikeluarkan PM nanti semata-mata berdasarkan fakta yang dibekalkan oleh
Perbendaharaan kepadanya.
Hakikatnya, selain menunjukkan
ketelusan, Anwar juga membuktikan dirinya berpegang sistem tatakelola yang baik
dalam menguruskan pentadbiran kerajaan dan tiada perkara perlu disembunyikan,
terutama berkaitan pemberian kontrak kepada syarikat-syarikat yang
dipertikaikan.
_________________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.