Kerajaan Selangor bertindak membuat laporan polis terhadap
individu yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
dan institusi diraja dalam media sosial.
Exco Perumahan Borhan Aman Shah (gambar, dua dari kanan) berkata, berkata laporan terhadap N Ganesparan, 42, juga dibuat
kerana mempersenda Islam dengan mendakwa Nabi Muhammad SAW sebagai penipu
selain tidak perlu bersolat.
Beliau berkata lelaki tersebut turut menyebut perkataan kesat dan
memalukan terhadap Sultan Sharafuddin, raja-raja dan mufti.
"Menerusi video diterima malam tadi, (kenyataan disebut)
boleh menimbulkan keguasaran awam dan membangkitkan sensitiviti yang berisiko
mengakibatkan pergolakan dan perpecahan kaum.
"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar bersetuju
untuk membuat laporan polis," katanya dipetik.
Turut serta Exco Belia dan Sukan Najwan Halimi dan wakil Persatuan
Pengguna Islam Malaysia dan Persatuan Anak Melayu Selangor dan Wilayah.
Borhan menegaskan laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak polis
menyiasat termasuk bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) supaya
lelaki yang menetap di luar negara sejak 2017 itu diheret ke muka pengadilan.
"Tanggungjawab kita untuk membuat laporan agar perkara ini
tidak dipermainkan. Tindakan undang-undang perlu dibuat supaya martabat
institusi diraja dan agama Islam sentiasa dijaga," katanya.
Semalam Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dipetik
sebagai berkata pihaknya membuka 21 kertas siasatan terhadap Ganesparan
berikutan kenyataan didakwa menghina Sultan Selangor dan agama Islam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki tersebut kini
dipercayai berada di Hamburg, Jerman selepas kali terakhir keluar pada 2
November 2017.
Dalam video lebih dua minit itu, lelaki tersebut mengeluarkan
kenyataan berunsur perkauman dan keagamaan selain mendakwa isu 3R (agama, kaum
dan raja) hanya untuk orang bukan Islam.
*Kredit foto: Selangorkini