KENYATAAN MEDIA PEMUDA AMANAH NASIONAL




27 Februari 2024


BERI RUANG MENTERI PELANCONGAN MEREFORMASI INDUSTRI, DATO' SRI TIONG DISARAN BENTANG KERTAS PUTIH PELANCONGAN


1. Dato' Sri Tiong King Sing perlu diberi ruang secukupnya untuk menjalankan tanggungjawab selaku Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Ini termasuk melantik individu yang mahir dan "reform-minded" untuk membaharui industri pelancongan tempatan yang terus dihimpit oleh persaingan daripada negara-negara jiran.


2. CUEPACS atau Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia diminta untuk tidak memanjangkan isu penukaran jawatan Datuk Ammar Abd Ghapar, bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia. Pemuda AMANAH memandang positif keputusan Datuk Ammar untuk tidak lagi memberi komen mengenai isu ini kepada media.


3. Dato' Sri Tiong dan pasukannya di MOTAC mempunyai cabaran lebih besar yang perlu diberikan perhatian. Kebangkitan destinasi pelancongan serantau seperti Phuket (Thailand), Bali (Indonesia), Ha Long Bay (Vietnam) dan Boracay (Filipina) menjadi pesaing utama kepada Malaysia dalam menarik pelancong asing. Lihat sahaja data pelancongan antara tahun 2010-2019, di mana bilangan pelancong asing hanya berada antara 24-27 juta setahun.


4. Malah, semakin ramai rakyat kita yang lebih gemar melancong ke luar negara. Tidak ada gunanya salahkan sesiapa jika tiada pembaharuan signifikan dilakukan dalam industri pelancongan. Namun, sekiranya trend ini berterusan, saya khuatir ramai pemain pelancongan tempatan akan gulung tikar.


5. Terlalu banyak aduan daripada para pelancong dan pemain industri yang perlu diselesaikan. Antaranya, harga bilik hotel dan makanan terlalu mahal, pantai-pantai popular negara kurang aktiviti-aktiviti unik yang dirancang oleh agensi pelancongan, ketiadaan "direct flight" daripada negara-negara utama dan macam-macam lagi. Paling penting, proses imigresen di pintu utama negara harus dipermudahkan. Promosi pelancongan Malaysia secara besar-besaran di negara luar juga perlu diperhebatkan, terutamanya di India, China dan negara-negara Barat.


6. Kegagalan menarik pelancong asing akan memberi tekanan kepada ringgit. Memandangkan industri pelancongan menyumbang 14% nilai KDNK negara dan hampir satu-perempat tenaga kerja tempatan, kelemahan permintaan pelancongan akan turut merencatkan ekonomi Malaysia.


7. Alhamdulillah, data pelancongan terbaru termasuk bilangan pelancong asing amat memberangsangkan. Keputusan untuk mengecualikan visa 30 hari kepada pelancong China dan India adalah tindakan positif. Namun, ini hanyalah permulaan.


8. Pemuda AMANAH juga cadangkan agar Dato' Sri Tiong membentangkan Kertas Putih di Parlimen mengenai isu-isu jangka pendek dan panjang yang menjadi cabaran kepada sektor pelancongan. Malah, peranan kerajaan negeri dan kerjasama dengan kerajaan persekutuan perlu turut dikaji. Semoga Kertas Putih ini dapat mengenalpasti solusi-solusi terbaik untuk para pemain pelancongan negara.


AMMAR ATAN

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional


#PemudaAMANAH

#PartiAmanahNegara

#AMANAH #KerajaanMADANI #MalaysiaBersamaPalestin