Kenaikan tarif air yang tidak dijadikan senjata menyerang Kerajaan
Madani oleh pemimpin PN dan laskar siber mereka kerana Kerajaan Negeri
pembangkang turut menginginkannya boleh menjadi satu kaedah berpolitik matang
pada masa hadapan dalam hubungan pusat-negeri.
Bagi Ketua Penerangan KEADILAN Kemaman, Ahmad Nadhir Yob, beliau
melihat perkembangan tersebut sebagai suatu kesedaran politik yang baik dalam
menguruskan hal hal terkait keperluan asas rakyat.
Bagi beliau, dalam konteks Terengganu, kenaikan tarif air
seharusnya digunakan untuk meningkatkan lagi mutu dan kecemerlangan
perkhidmatan Syarikat Air Terengganu (SATU) kepada pelanggannya.
"KEADILAN Kemaman menyambut baik keputusan kenaikan tarif
air, tetapi ia mestilah disusuli perkhidmatan yang lebih baik dan kompeten,
misalnya NRW (air tidak berhasil) perlu dapat dikurangkan dan rizab air
Terengganu perlu bertambah. Itu yang penting.
"Terengganu dalam konteks Kemaman pula, populasi penduduk
dalam 200,000 dan makin bertambah. Jadi perlukan sistem bekalan air yang lebih
efisien dan kompeten," katanya kepada Suara Keadilan.
Tegas Ahmad Nadhir, kecekapan perkhidmatan air sangat penting agar
isu seperti kerosakan paip di Besut yang mengambil masa sehingga hampir sebulan
untuk dibaiki baru baru ini, tidak berulang.
Katanya, rakyat Terengganu telah bosan mendengar alasan setiap
kali paip utama pecah dan mengambil masa terlalu lama untuk diperbaiki,
sedangkan hal itu tidak berlaku di negeri lain.
"Diharapkan dengan kenaikan tarikf air, selari dengan
peningkatan mutu kecekapan perkhidmatan Syarikat Air Terengganu," katanya
lagi.