Saya sengaja membiarkan perbahasan berkaitan isu Ashabul Kahfi
seperti yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak di media sosial beberapa ketika.
Ternyata benar telahan PMX, iaitu dia akan dilabelkan liberal malah lebih dari
itu iaitu pemimpin yang sesat dan menyesatkan.
Pada saya tiada apa yang perlu dikomen jika kita menonton video
ucapan PMX, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan perkara tersebut, dengan minda
yang terbuka dan ikhlas.
Mesej beliau adalah ketegasan mempertahankan prinsip tanpa
mengira usia. Hadapilah segala kesusahan sehingga terpaksa memencilkan diri
dengan bersembunyi di gua yang sempit dan merimaskan.
Inilah mesej yang diangkat oleh al-Quran. Keikhlasan
mempertahankan aqidah adalah suatu yang dituntut dan dimuliakan dalam Islam.
Sifat dan sikap Ashabul Kahfi, yang menginsafi bahawa mereka
perlu membawa diri dan bersembunyi bagi menyelamatkan aqidah mereka atas asas
ilmu dan keperluan semasa.
Ia juga adalah ihsan Allah s.w.t. yang memilih mereka, dari
kelompok pemuda atas dasar keikhlasan mereka beriman.
Kegopohan menggelar PMX sebagai pemimpin yang sesat dan
menyesatkan oleh Ustaz Azhar Idrus bukanlah satu teladan yang baik utk masyarakat.
Tambahan pula beliau sendiri pernah mengeluarkan pandangan yang hampir serupa
dengan PMX pada tahun 2018.
Gelagat pendakwah sebegini pernah terjadi di waktu Imam
al-Ghazali lagi. Satu kekecohan akibat kritikan yang melampau oleh seorang
penceramah sehingga menimbulkan pergaduhan dan mengakibatkan kematian di dalam
masjid.
Antara insiden yang berlaku adalah pada tahun 469H, apabila
Sheikh Abu Ishak Syairazi dan Abu Sa'ad Shufi, mencela ajaran Imam Hanbal lalu
Abu Ja'afar bin Musa dan pengikut Mazhab Hanbali, menyerang kembali lalu
berlaku pergaduhan dan mengakibatkan kematian.
Insiden seperti ini berlaku akibat ketaksuban pengikut dan
akhlaq pendakwah yang buruk, yang mengeluarkan kata-kata yang boleh menyalakan
api kebencian dan kemarahan.
Imam al-Ghazali menyimpulkan ia sebagai penyelewengan misi
ulama. Penyelewengan ini bermula dari sejenis penyakit hati yang dinamakan
'ghurur' (غرور) atau dalam bahasa kita sebagai penipu-dayaan.
Mereka yang terkena penyakit ini menyangka bahawa segala
kelebihan samada berbentuk ilmu, kekuatan beribadah, ramainya pengikut mahu pun
kemampuan bersedekah adalah petunjuk mereka berada atas landasan kebenaran,
lantas memandang hina kelompok yang tidak bersama mereka. Mereka sanggup
melabel dan mengeluarkan segala kata-kata yang menjelekkan dengan andaian ia
adalah sesuatu yang diharuskan kerana mereka berada di pihak yang benar.
Sikap seperti ini menjurus kepada 'ghuluw' (غلوا), melampaui
batas, sehingga sanggup mengeluarkan ugutan bunuh, menanam mayat di jirat Cina
dan sebagainya.
Sabda Baginda s.a.w :
يا أيها الناس إياكم والغلو في الدين فإنه أهلك من كان قبلكم الغلو
في الدين
Wahai sekalian manusia jauhilah anda daripada sifat melampau.
Sesungguhnya orang-orang yang sebelum daripada kamu binasa kerana melampau
dalam agama.
(Sunan Ibnu Majah: 3029: Sahih)
Inilah bunga-bunga fahaman 'Khawarij' (خوارج). Kelompok Khawarij
ini dalam sejarah sanggup berbunuhan sesama Islam, malah bekerjasama dengan
kelompok musuh Islam untuk membunuh umat Islam.
Kita boleh sahaja tidak bersetuju dengan mana-mana pemimpin
hatta Perdana Menteri sekali pun, namun menggelar atau melabel dengan label
yang seolah-olah meragui kesahihan aqidahnya seperti sesat, liberal dan
seumpamanya hendaklah dielakkan. Jika ada dalam kalangan pengikut atau
penggemar kita berkelakuan sedemikian hendaklah ditegur agar kerosakan akhlak
dapat dibendung dan dihentikan.
Inilah yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w :
هلك المتنطعون قالها ثلاثا
Binasalah orang yang melampau. Baginda menyebutnya tiga kali.
(Sahih Muslim : 2670, Sahih)
Kegigihan al-Ghazali dalam melakukan islah dari sudut aqidah,
keilmuan, falsafah, dakwah dan akhlaq akhirnya melahirkan generasi Salahuddin
Al-Ayyubi yang mampu membebaskan Baitul Maqdis dari belenggu penjajahan dan
kezaliman.
Hj. Amidi bin Abdul Manan,
Pengarah,
Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.
23 Disember 2023.