Sikap tegas Malaysia membela Palestin menerima reaksi kurang senang negara Barat yang pro Israel.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi mendedahkan Malaysia mula dikritik dan ‘diserang’ oleh beberapa kalangan negara Eropah, Amerika Syarikat dan Israel susulan kelantangan membela hak rakyat Palestin.
Bagaimanapun katanya, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh
rakyat beliau tidak akan tunduk dan gentar dengan sebarang ugutan.
"Negara-negara berkenaan tidak boleh mengugut Malaysia kerana
Malaysia sebuah negara merdeka dan berdaulat, serta mempunyai hak untuk
menentukan apa yang betul.
"Kami faham apa makna merdeka. Kamu salah pilih orang (Perdana Menteri). Saya tegaskan Malaysia negara bebas dan merdeka.
"Malaysia ini akan kekal sebagai negara berdaulat, yang akan
mempertahankan hak, perjuangan dan kebebasan Palestin," ujarnya disambut
sorakan lebih 18,000 peserta himpunan di Stadium Arena Axiata, Bukit Jalil
malam tadi
Belasan ribu berkumpul menunjukkan solidariti ke atas rakyat Palestin
Ribuan masyarakat berbilang bangsa dan agama hadir di himpunan itu
bagi menzahirkan solidariti kepada rakyat Palestin yang berdepan penindasan
rejim Israel.
Kebanyakan memakai baju putih, lengkap dengan mafla dan mengibar bendera Palestin, berkumpul di bawah satu bumbung mendesak Israel menghentikan segera serangan ke atas Semenanjung Gaza.
Himpunan itu turut dihadiri oleh ketua-ketua perwakilan negara,
pemimpin politik dan jemputan khas, dengan dianggarkan seramai 20 wakil NGO
menyampaikan ucapan.