Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan
(DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi ditohmah oleh pembangkang
kononnya berlaku akibat campurtangan pemimpin tertinggi negara dalam urusan
mahkamah.
Bagi Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Razeef Rakimin,
kritikan seumpama itu amat tidak wajar dan seolah olah mahu menuduh Perdana
Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim campurtangan dalam urusan perundangan,
biar pun tanpa mengemukakan bukti.
"Sejak Timbalan PM, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilepas
tanpa dibebaskan dari 47 pertuduhan, saya melihat pelbagai reaksi. Tidak kurang
pelbagai pihak yang menuding jari terhadap PM Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya rasa amat jelik dengan kenyataan beberapa pemimpin
politik termasuk dalam kerajaan sendiri yang menuding jari kepada PM tanpa asas
kukuh.
"Bila membaca kenyataan-kenyataan ini saya terfikir adakah
kita mahu badan kehakiman yang bebas dari campur tangan politik atau kita ingin
PM menyalahgunakan kuasanya untuk mencampuri urusan mahkamah?" tanya
beliau dalam kenyataan.
Sebaliknya, Razeef berkata, pihak yang terlalu mengaitkan PM dalam
perkara itu tidak pernahkah terfikir hujah yang lebih logik. Sekiranya beliau
memang mencampuri urusan mahkamah sejak mula berkuasa tentunya Pengerusi
Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin akan dipastikan masuk penjara.
Maka amat mustahil 4 pertuduhan ke Muhyiddin boleh digugurkan oleh
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Ogos lalu.
Atau, kata Razeef, pihak yang menuduh itu mempunyai masalah
ingatan kerana peristiwa Muhyiddin bebas pertuduhan rasuah masih baharu.
"Mereka lupa bulan lalu Muhyiddin dibebaskan daripada 4
tuduhan rasuah RM232.5 juta. Di sini jelas PM tidak menyalahgunakan kuasanya
untuk menentang seteru politik," tegasnya.
Begitu juga, katanya, Presiden Muda yang mempunyai komen berbeza
apabila mahkamah memutuskan DNAA ke atas Zahid kali ini berbanding pembebasan
Zahid pada tahun lalu di mahkamah sama.
"Syed Saddiq pada September tahun lalu pernah mengeluarkan
kenyataan mendakwa beliau yakin dengan badan kehakiman selepas Zahid Hamidi
bebas dari 40 pertuduhan, namun mengapa hari ini nada beliau berubah?
"Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang dilihat
tidak berpuas hati juga panjang lebar bercerita tentang reformasi. Namun adakah
beliau sedar ia seolah ingin Perdana Menteri campur tangan urusan mahkamah.
"Apatah lagi pemimpin PN yang dilihat sakan menunggang isu
ini sedangkan hanya 2 tahun memerintah, sebanyak 101 kes berprofil tinggi telah
digugurkan di bawah pentadbiran kerajaan PN," sinisnya.
Dalam pada itu, Razeef mengingatkan bahawa DNAA ke atas Zahid
bukanlah bermakna beliau dibebaskan sepenuhnya.
Katanya, melalui penjelasan Hakim berkait kes Zahid, pihak
pendakwaan telah menjalankan kuasa mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan
Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan memohon DNAA.
Beberapa alasan diberikan pihak pendakwaan termasuk terdapat
keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan alasan penubuhan
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kandungan buku 'My Story:
Justice in The Wilderness' oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang
menyentuh kes Zahid.
Oleh kerana siasatan masih dijalankan dan lanjutan daripada
respresentasi yang dikemukakan pembelaan, kata Razeef, adalah wajar bagi pihak
pendakwaan memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti representasi dan pihak
berkuasa mengambil kenyataan daripada beberapa individu.
"(Dalam hal ini) saya juga melihat beberapa pemimpin politik
cuba memesongkan maksud DNAA seolah-olah Zahid telah bebas sepenuhnya dan ini
adalah salah.
"(Sedangkan) siasatan masih berjalan dan penubuhan
Suruhanjaya Siasatan Diraja menjadi asas keputusan Mahkamah Tinggi menolak
permohonan Zahid supaya dibebaskan sepenuhnya daripada 47 tuduhan rasuah, pecah
amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya,"
kata beliau lagi.