ASEAN mesti bersikap lantang suarakan isu Myanmar - PM




 ASEAN perlu lantang dalam menyuarakan pendirian berhubung krisis di Myanmar, tegas Perdana Menteri dalam satu wawancara di Jakarta.



Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, krisis di Myanmar bukan sahaja mewujudkan situasi tidak stabil di rantau ini, malah turut memberi kesan terhadap negara jirannya yang lain termasuk Malaysia.

"Negara anggota ASEAN perlu lebih tegas dan berani dalam menyuarakan kedudukannya. Sebagai contoh, Malaysia perlu melindungi lebih 200,000 pelarian dari Myanmar dengan sebahagian besarnya adalah Rohingya.



"Semestinya rakyat Malaysia secara menyeluruh dan umat Islam khususnya, berasa marah terhadap kekejaman ke atas kumpulan minoriti di Myanmar.



"Justeru, kita perlu mempunyai pendirian jelas dan tegas dalam menyokong pendirian ASEAN dalam mendesak Myanmar menangani perkara ini," katanya dipetik akhbar The Jakarta Post sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 .



Anwar berkata, Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini berperanan penting dalam menyelesaikan krisis di Myanmar dan pada masa sama, mengekalkan libat urus bersama pemegang taruh di negara berkenaan.



Bagaimanapun, junta mengambil sikap acuh tidak acuh dan tidak menghiraukan Konsensus Lima Perkara ASEAN mengenai isu Myanmar yang kekal menjadi batu penghalang bagi negara itu mencapai kestabilan.



"Mungkin buat pertama kali dalam sejarah ASEAN, saya kira hampir 100 mesyuarat peringkat pegawai sudah diadakan (mengenai isu Myanmar).



"Malangnya, junta tentera tidak berminat, tidak banyak perkembangan berlaku tetapi sekurang-kurangnya ASEAN telah mengambil langkah positif dan proaktif untuk berbincang dengan pihak berkaitan, malah kita akan terus berbuat demikian," katanya sambil berkata persepakatan dalam kalangan negara anggota adalah kaedah paling berkesan menyelesaikan konflik di negara itu.