Semalam lain, hari ini lain – itulah gambaran yang boleh disimpulkan nengenai pendirian sebenar Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mengenai pertandingan dua jawatan tertinggi dalam parti itu.
Ketika bertembung dengan Khairy Jamaluddin di WTCKL semalam, sambil bersalam dengan bekas Menteri Kesihatan itu, Zahid Hamidi menyatakan kesediaannya untuk berlawan.
Penegasan Zahid Hamidi itu segera mengundang pujian daripada KJ dan beliau menyifatkan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai seorang yang berani.
Bagaimanapun, ketika berucap di perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2022, lain pula nada Zahid Hamidi.
Beliau sebaliknya menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan sama ada dua jawatan utama parti mahu dipertandingkan atau tidak pada pemilihan akan datang ini.
“Sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, saya menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukannya.
“Namun, saya yakin ahli UMNO boleh menilai yang mana kaca yang mana permata. Yang mana pepat di luar, rencong di dalam.
“Bak kata orang muda, yang mana ‘ori’ yang mana ‘fake’,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian sebagaimana dipetik daripada FMT.
Laporannya di sini – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/01/13/zahid-serah-perwakilan-tentu-2-jawatan-utama-dipertanding/
Pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.
Ada yang mahu pertandingan dibenarkan dan ada juga yang tidak mahu ia diadakan, kononnya untuk mengelak perpecahan dalam menghadapi PRN di enam negeri tidak lama lagi.
Tetapi, pendirian Zahid Hamidi sendiri sebagai pemimpin yang bakal dilawan bagaimana?
Adakah beliau benar-benar sedia berlawan atau “ready to fight” sebagaimana yang diucapkannya di depan KJ semalam?
Atau pendiriannya sudah berubah setelah melihat bagaimana KJ diserbu dan disambut meriah ketika meninjau Perhimpunan sayap-sayap parti semalam?
Kenapa mesti serah kepada perwakilan?
Tidak bolehkah Zahid Hamidi sendiri secara terbuka menyatakan agar pertandingan tidak dihalang?
Kalau serah kepada perwakilan menentukan sama ada perlu pertandingan atau tidak, adakah 140 Ketua UMNO Bahagian yang dua hari lalu mengusulkan agar Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan tidak dilawan akan segera memulakan gerakan untuk menentukan perwakilan memihak kepada kehendak mereka? – ShahbudinHusin 13/01/2023.