Marilah kita berimpian besar untuk Malaysia yang lebih baik dan
terus maju ke hadapan dengan kental dan tabah demi menuntut semula negara kita
By
-
Sekali lagi, kita melalui penghujung tahun, di mana kita melihat
kembali dan muhasabah diri kepada pelajaran yang telah dicapai dan
memperbaharui azam untuk masa depan yang lebih sempurna.
Sebagai sebuah negara, kita dikatakan berada di persimpangan
jalan, di mana kita harus melakukan pilihan yang penting untuk memilih jalan
manakah yang perlu diambil. Keputusan pilihan raya umum yang lalu memberi isyarat
berlakunya penambahan penonjolan kaum, malah kaum berganding dengan ciri Islam
‘konservatif’ yang dianjurkan oleh kepimpinan terkini Pas.
‘Gelombang hijau’ – kebanyakannya daripada pengundi muda dan
baharu, juga terdiri daripada pengundi di kawasan luar bandar dan kawasan
pinggir bandar – telah memicu pelbagai reaksi, iaitu dari reaksi keyakinan dan
harapan membina ‘negara Islam’ kepada reaksi kebimbangan terhadap Islam ala-Pas
dan kemungkinan berlaku ketidakadilan terhadap golongan minoriti dan Muslim ‘liberal/progresif’.
Sebilangan penganalisa telah menekankan peningkatan perpecahan,
ketidakpercayaan, dan kekurangan toleransi di Malaysia di waktu ini, terutama
melalui media sosial.
Saya baru-baru ini menonton sebuah filem Hindi yang menyampaikan
mesej betapa mudahnya isu perkauman dan keagamaan mampu menjadi sebuah
malapetaka. Filem yang bertajuk Jogi yang memaparkan peristiwa rusuhan
anti-Sikh dalam tahun 1984 yang berlaku di utara India, terutamanya di ibu kota
New Delhi, yang mana berlaku sejurus selepas Perdana Menteri India ketika itu,
Indira Gandhi, dibunuh oleh dua pengawal peribadinya yang beragama Sikh.
Gandhi sebelumnya telah mengarahkan ‘Operasi Blue Star’ dan
memberi kuasa kepada pasukan tentera India untuk mengempur Kuil Emas atau
Golden Temple di Amritsar, yang menjadi kawasan ibadat bagi orang-orang Sikh.
Operasi ini bertujuan untuk memburu militan pemisah yang berada di dalam kuil
itu bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.
Sejurus pembunuhan Gandhi, sentimen perkauman terhadap komuniti
Sikh telah dimainkan dengan dahsyat. Hanya dengan semalaman, ramai daripada
penganut Hindu telah bersikap agresif kepada rakan-rakan dan jiran tetangga
beragama Sikh, yang membawa kepada pertumpahan darah yang ngeri terhadap ribuan
Sikh di segenap utara India.
Support the struggle to build a Malaysia based
on Justice, Freedom, Solidarity:
·
Sign up for Aliran's free daily email
updates or weekly newsletters or both
·
Make a one-off
donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
·
Make a regular pledge or periodic
auto-donation to Aliran
Tel:
04-658 5251 email: aliran.malaysia@yahoo.com
Dan ya, di dalam filem ini, wujud watak ahli politik yang
mengambil kesempatan di dalam kejadian yang berlaku dan memburukkan lagi
keadaan hanya kerana untuk mengejar serakah politik peribadinya.
Di ketika penulis kecewa, kesal dan tertekan dengan pertumpahan
darah yang berlaku dalam kisah di dalam filem tersebut, filem Jogi ini telah
melakarkan sebuah inspirasi – iaitu ketika seorang Sikh yang telah
berkorban segala yang beliau ada – termasuklah menanggalkan turbannya dan
memotong rambutnya yang panjang – semata-mata untuk menyelamatkan keluarga,
rakan-rakan dan jiran tetangganya daripada dibunuh. Beliau, bersama beberapa
rakan daripada penganut Islam dan Hindu yang membantunya, juga menggagalkan
usaha pihak penguasa dan akhirnya berjaya di dalam misinya.
Keadaan di dalam filem ini tersangatlah mirip dengan peristiwa
13 Mei 1969 kita di sini! Apakah kita sedang mengundang peristiwa malapetaka
itu sekali lagi?
Kemudiannya, saya pernah terbaca bahawa dikatakan: “Sejarah
tidak mampu berulang kerana setiap detik di mana-mana zaman berbeza tempat,
masa, dan keadaannya.”
Walau bagaimanapun, pastilah ada perkara yang boleh dijadikan
teladan daripada kesilapan lalu kita, yang mampu membawa kita untuk membentuk
keadaan akan datang dan bukannya menjadi mangsa kepada keadaan.
Maka, inilah langkah-langkah yang saya yakini boleh membawa kita
ke hadapan ke arah Malaysia yang lebih baik:
Kekal di dalam kenderaan – tidak perlu keluar buat jalan cerita
sendiri
Di dalam filem Rango (filem yang sangat menyeronokkan
penulis), Roh dari Barat telah memberitahu kepada Rango, “Tiada seorangpun yang
boleh buat jalan ceritanya sendiri.”
Ramai yang mengatakan politik itu kotor dan tidak mahu
melibatkan diri di dalam politik, malah memboikot pilihan raya. Adapun yang
menghadkan penglibatan mereka di dalam politik kepada sekali di dalam lima
tahun. Ada juga yang menyalahkan ahli politik terhadap apa-apa keadaan buruk
yang berlaku.
Oleh itu, marilah kita membina kesedaran untuk menjadi pengarang
jalan cerita kita sendiri, dan bekerja ke arah merealisasikan cita-cita kita.
Segala usaha untuk perubahan institusi dan dasar pro-rakyat untuk Malaysia yang
lebih baik harus terus bergerak – dan semua harus memainkan peranan masing-masing.
Redakan kekecewaan kita – jangan ledakkan kegusaran
Sebahagian besar kita bimbang dan gusar semasa beberapa jam
pertama setelah keputusan pilihan raya umum diwartakan. Kegusaran tersebut
berlarutan untuk beberapa hari – yang menyaksikan tiada parti atau pakatan yang
berjaya mendapatkan majoriti mudah untuk dilantik sebagai kerajaan, yang
mengakibatkan parlimen tergantung.
Setelah hampir lima hari menyaksikan “krisis pasca pilihan raya
umum yang belum pernah berlaku” (seperti mana yang dipaparkan dalam sebuah
akhbar), Anwar Ibrahim telah dilantik menjadi perdana menteri kesepuluh untuk
Malaysia.
Ramai yang mungkin kecewa dengan keputusan Pakatan Harapan untuk
bekerjasama di dalam ‘kerajaan perpaduan’ yang dikehendaki oleh Yang di-Pertuan
Agong, namun, saya berterima kasih kepada Agong yang berhikmah di dalam
menyatukan pelbagai pihak untuk menyelesaikan dilema ini, yang menjadi
keutamaan negara kita.
Perdana menteri terkini dilihat telah memberi jaminan mengenai
usaha untuk mewujudkan Malaysia yang stabil dan bersatu di bawah kerajaan yang
inklusif. Beliau juga menyebutkan untuk tidak kompromi dengan pelbagai isu
pentadbiran baik dan memfokuskan kepada ekonomi.
Kita kini seolah-olah berada di dalam peperangan yang mempunyai
musuh di pelbagai penjuru. Oleh itu kita harus realistik atau bersandar kepada
keadaan semasa dan juga membenarkan ruang untuk sistem demokratik terbina
dengan matang dan berdaya maju bersama institusi-institusi yang terlibat.
Tekanan yang terlalu kuat kepada kerajaan di ketika ini, pada
hemat saya, bakal menjatuhkan seperti dahan yang rapuh.
Berusaha untuk pendamaian, jangan menyemai perselisihan
Saya percaya ianya sesuatu yang jelas kepada ramai kita
percakaran politik tidak harus dijadikan tujuan kita sekiranya kita mahu
menyelesaikan isu-isu penting di tahap nasional dengan cepat dan teratur.
Adalah sesuatu permulaan yang murni apabila muncul
sebilangan kepimpinan DAP yang memohon maaf terhadap tindakan dan kenyataan
yang menyinggung perasaan seteru politik mereka.
Kita harus mempromosikan dialog, wacana dan kerjasama yang
merentasi sempadan – termasuklah sempadan politik, kaum, agama, kelas dan
negeri-negeri. Dialog, wacana dan kerjasama boleh diadakan di pelbagai
peringkat dan bentuk. Ini untuk membina semula kepercayaan bersama dan
kumpulan-kumpulan awam memainkan peranan penting.
Namun harus diingati bahawa kejayaan dialog atau wacana atau
kerjasama adalah bergantung kepada asas yang kukuh yang dipegang bersama.
Seperti yang pernah disebut oleh mendiang Karpal Singh, “Di dalam politik tidak
ada musuh yang kekal atau sahabat yang kekal; tetapi yang harus kekal ialah
prinsip.”
Pecahkan rantaian – jangan panjangkan prejudis
Seperti yang digariskan oleh psikologis organisasi Adam Grant,
kita panjangkan prejudis apabila kita menghakimi yang lain berdasarkan
generalisasi terhadap kumpulan asal mereka, sebagai contoh “Melayu/bukan
Melayu, “orang Islam/bukan Islam”, “penyokong Pas/PH”, orang asing, NGO Muslim
‘konservatif’ dan penjawat awam.
Walaupun di ketika identiti politik nampaknya berleluasa, kita
tidak harus menyalahi keseluruhan kumpulan hanya kerana beberapa individu yang
melakukan sesuatu tindakan itu. Kita harus menegakkan akauntabiliti terhadap
individu yang melakukan kesalahan dan bukannya menghentam keseluruhan kumpulan
itu. Dengan ini, kita tidak menghentam atau meminggirkan mereka dalam kumpulan
tersebut yang tidak bersetuju dengan kelakuan individu tersebut atau selari
dengan stereotaip menurut pandangan kita.
Di masa setiap kita perlu mengambil tanggungjawab dalam perkara
ini, keperluan yang lebih besar juga perlu ditunaikan di peringkat organisasi
dan masyarakat melalui kumpulan-kumpulan masyarakat, kepercayaan, politik dan
kerajaan.
Perdana menteri telah pun memaparkan permulaan yang baik di
peringkat kerajaan dengan memperbetul maklumat yang salah atau stereotaip
negatif mengenai agama dan kaum, terutamanya yang berkaitan dengan pilihan raya
umum yang lalu.
Maka, di kala kita berada di persimpangan, marilah kita
menggunakan kebijakan kita untuk memilih jalan yang terbaik. Juga marilah kita
berimpian besar untuk Malaysia yang lebih baik dan terus maju ke hadapan dengan
kental dan tabah demi menuntut semula negara kita.
Mary Magdaline Pereira
Editor bersama, surat berita Aliran
30 Disember 2022
Terjemahan oleh: Mohd Fadzly Md Zainol