KALAU HISHAMMUDIN DILABEL PENGECUT, CUBA HALANG JAWATAN PRESIDEN UMNO DITANDINGI JUGA JADIKAN ZAHID HAMIDI SAMA PENGECUT

 

Berdasarkan rekod sejarah, Zahid Hamidi adalah pemimpin yang berani dan tidak pernah kalah apabila bertanding dalam UMNO di peringkat pusat.

Beliau berani bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 1996 walaupun lawannya ketika itu ada yang berjawatan menteri dan menteri besar.

Dengan hanya berjawatan Pengerusi BSN, Zahid Hamidi akhirnya berjaya menewaskan Rahim Tamby Chik, Annuar Musa dan Isa Samad pada pemilihan tahun 1996 itu.

Daripada situ, beliau kemudian menjadi Naib Presiden, Timbalan Presiden dan akhirnya Presiden UMNO pada 2018.

Pada pertandingan pada 2018 dan dalam keadaan UMNO tiada lagi kuasa ketika itu, Zahid Hamidi tetap berani menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO.

Beliau akhirnya berjaya memimpin UMNO setelah menewaskan Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Sebelum PRU15 lalu, pemilihan UMNO telah ditangguhkan dan sehingga dipinda perlembagaan parti bagi mengelakkan berlakunya perpecahan untuk menghadapi PRU tersebut.

Dalam keadaan UMNO perlu bangkit dan bersatu bagi menghadapi PRU15, keperluan mengelakkan pertandingan itu adalah boleh diterima kewajarannya.

Di sebalik keputusan PRU15 tidak cemerlang buat UMNO, tetapi BN akhirnya berjaya berada dalam kerajaan perpaduan dengan kedudukan yang lebih kukuh, bahkan Zahid Hamidi sendiri beroleh jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Sepatutnya ketika ini, oleh kerana PRU15 sudah berakhir, ditambah dengan Zahid Hamidi berkedudukan Timbalan Perdana Menteri, tiada keperluan lagi untuk menghalang pertandingan bagi jawatan Presiden UMNO.

Kalau pertandingan sebelum PRU ditakuti boleh membawa perpecahan untuk menghadapi PRU, tapi sekarang hendak takut apa lagi kepada pertandingan dalam UMNO?

Sebab itu dalam hal ini, pengampu-pengampu Zahid Hamidi harus segera berhenti mengeluarkan kenyataan atau gesaan yang menjurus agar dielakkan pertandingan bagi jawatan Presiden UMNO.

Gesaan sedemikian sudah tidak relevan dan bertentangan dengan prinsip meminda perlembagaan yang menetapkan pemilihan UMNO hendaklah diadakan enam bulan selepas PRU dilangsungkan.

Jika sebelum dan selepas PRU tetap cuba dihalang pertandingan, lebih baik UMNO pinda saja perlembagaannya dengan mengharamkan sama sekali pertandingan?

Jangan juga jadikan Zahid Hamidi seolah-olah seorang yang pengecut dan takut untuk berlawan dengan gesaan seperti itu, sedangkan sejarah perjalanan politiknya telah membuktikan beliau seorang yang berani dan tidak pernah takut.

Bro, janganlah bagi malu Panglima Jawa itu!!

Selain itu, jika Nur Jazlan Mohamed yang merupakan seorang penyokong kuat Zahid Hamidi berani melabel Hishammuddin Hussein, pemimpin yang diwar-warkan akan mencabar Zahid Hamidi bagi jawatan Presiden UMNO sebagai seorang pengecut, apa bezanya dengan beliau sendiri?

Tidakkah dengan gesaannya agar jawatan Presiden UMNO tidak ditandingi turut merupakan tindakan pengecut dan ingin menjadikan Zahid Hamidi sebagai pemimpin yang pengecut?

Jika Zahid Hamidi masih ada jiwa berani dalam dirinya, keberanian pertama yang harus ditunjukkannya ialah mempersetankan segala gesaan pengampunya itu dan tunjukkan beliau tidak pernah takut untuk bertanding. – ShahbudinHusin 03/01/2023.