RAFIZI RAMLI
Saya baru isytiharkan harta. Kecoh budak-budak UMNO PAS BERSATU
persoalkan macam mana aset bersih saya bernilai RM18 juta.
RM16 juta itu saham dan pelaburan saya dalam startup (atau
syarikat pemula) yang saya tubuhkan iaitu INVOKE Solutions Sdn Bhd.
Saya memang tunggu mereka buat bising kerana rakyat akan
menyampah. Mereka bising pasal saya isytihar harta tetapi mereka tidak pula
bising pimpinan mereka yang tidak ada perniagaan, tidak ada kelulusan, tidak
pernah memimpin organisasi korporat tetapi hidup macam raja.
Memang itu tujuan saya:
PERTAMA
Untuk tunjuk hipokrasi mereka.
KEDUA
Untuk saya boleh galakkan anak-anak muda mula membina perniagaan
yang bernilai tambah.
Hati saya juga didorong untuk menjaga kebajikan 150 kakitangan
saya di INVOKE. Mereka anak muda yang berkelulusan tinggi – 30% mendapat
straight As semasa SPM dan banyak ijazah kelas pertama dari universiti terkenal
di seluruh dunia termasuk Cambridge, Oxford, Cornell, UCL dan banyak lagi. Umur
mereka antara 22 hingga 27 tahun. 70% Melayu dan 30% bukan Melayu.
Mereka ada kepakaran dalam bidang teknologi terutamanya beberapa
bidang yang menjadi tulang belakang ekonomi digital iaitu sains data,
kejuruteraan perisian, pemasaran digital, dan seni kreatif digital.
Semua simpanan saya dari Tabung Haji dan ASB yang saya kumpul
semasa muda saya laburkan sebagai saham permulaan dalam INVOKE sebanyak RM2.5
juta secara beransur-ansur sejak 2016.
Mana saya kumpul RM2.5 juta tunai masa muda?
Saya seorang profesional lulusan kejuruteraan elektronik dan akauntan
bertauliah lulusan Institute Akauntan Bertauliah England & Wales (ICEAW),
iaitu institut akauntan bertauliah paling tua di dunia. Saya memulakan kerjaya
di London, gaji dalam pound. Masa itu, satu pound adalah RM6.
Bila saya balik sertai PETRONAS, gaji permulaan RM3,750. Selepas
enam bulan dan disahkan sebagai pengurus termuda dalam PETRONAS, gaji saya naik
RM11,000 sebulan pada umur 26 tahun. Umur 27 tahun saya naik pangkat lagi
menjadi ketua bahagian perancangan petrokimia PETRONAS, dan gaji saya naik
RM25,000 sebulan.
Ketika itu, PETRONAS memendekkan tempoh persaraan dari umur 60
tahun kepada 55 tahun, jadi saya mendapat pampasan RM400,000 pada umur 27 tahun
untuk 5 tahun perkhidmatan yang dipendekkan.
Prestasi saya baik di PETRONAS. Setiap tahun selama 7 tahun saya
berkhidmat di PETRONAS, bonus saya adalah di antara 10 hingga 12 bulan setahun.
Jadi pendapatan kasar saya setahun di akhir umur 20an adalah sekitar RM500,000
setahun.
Wang simpanan itulah yang saya laburkan membuka syarikat INVOKE.
Ramai yang tidak faham tentang syarikat berasaskan teknologi
atau yang dipanggil tech startup.
Nilaian sebuah tech startup di awal penubuhan bukanlah
bergantung kepada untung rugi tetapi:
PERTAMA
Nilai teknologi yang dibangunkan dan prestasi berkembang di pasaran
lain (atau scalability). Oleh kerana teknologi itu tidak menggunakan banyak
tenaga kerja, kalau ia berjaya dikembang masuk pasaran luar negara, platform
yang dibangunkan itu berpotensi besar di masa hadapan.
KEDUA
Kadar pertumbuhan perolehan (atau revenue) setiap tahun. Lebih
cepat perolehan berkembang, lebih bernilai.
KETIGA
Kemampuan syarikat mempunyai tunai yang mencukupi dengan
mengimbangi perolehan dan perbelanjaan, selalunya dipanggil cash
sustainability.
Ini kedudukan kewangan terkini INVOKE:
Purata pertumbuhan perolehan 2019 ke 2022: 90% setiap tahun
Keuntungan syarikat:
Untung di peringkat syarikat setiap tahun iaitu RM507,000 untuk
2020, RM653,000 untuk 2021 dan dijangka RM1.5 juta untuk 2022.
Keuntungan kumpulan:
2 anak syarikat yang membangunkan platform teknologi masih belum
untung, tetapi kerugian kumpulan semakin mengecil setiap tahun
Kedudukan tunai:
Dijangka mencukupi sehingga 2 tahun lagi tanpa perlu menerbitkan
saham.
Ada beberapa cara nilaian syarikat dibuat.
Cara paling mudah ialah berdasarkan nilai aset bersih. Tetapi
ini cara kuno kerana tidak mengambil kira potensi masa depan.
Untuk mengambil kira potensi masa depan, pekali (atau
multiplier) digunakan untuk menilai syarikat berasaskan potensi berkembang
perolehan dan keuntungan.
Untuk tech startup seperti INVOKE dengan prestasi pertumbuhan
yang dicapai kini, selalunya pekali adalah di antara 7 hingga 10 kali dari
perolehan tahun. Ini kaedah piawai yang digunakan di seluruh dunia oleh
syarikat venture capitalist yang melabur.
Perolehan INVOKE untuk 2021 adalah RM6.3 juta dan untuk 2022
dijangka melebihi RM11 juta. Jadi julat nilaian INVOKE ialah antara RM60 juta
ke RM120 juta.
Ini bukan saya pandai-pandai cakap. Ini adalah nilaian rasmi
oleh Cradle, sebuah agensi kerajaan yang memantau pertumbuhan startup. Tengok
nilaian rasmi ini di laman www.mystartup.gov.my
Nilaian ini dibuat oleh sebuah firma penilai bebas dari
Singapura bernama VentureCap Insights.
Saya masih memegang lebih 70% dari saham INVOKE. Tapi untuk
isytihar harta, saya gunakan kaedah nilaian paling rendah iaitu nilai aset
bersih iaitu sebanyak RM17 juta.
Dari RM17 juta itu, RM11 juta adalah pelaburan yang membeli
saham-saham INVOKE dari 2019 hingga 2022.
Kenapa pelabur tempatan dan antarabangsa beli saham INVOKE?
Kerana potensi untuk INVOKE disenaraikan di pasaran saham di
masa hadapan yang membolehkan mereka mendapat pulangan besar bila saham-saham
INVOKE mula dijual beli orang ramai.
Kenapa saya cerita semua ini?
Kerana saya nak yakinkan anak muda Malaysia bahawa ini jalan
masa depan kita. Anak muda Malaysia sangat berbakat, pandai dan berkebolehan.
Anak-anak muda di INVOKE telah membawa syarikat hingga ke nilaian berpuluh juta
dalam masa 2 tahun.
Bila INVOKE disenaraikan, mereka semua ada saham, dan mereka
boleh hidup selesa di masa muda.
Syaratnya kena pandai, kena kreatif, kena usaha, kena berani dan
kena jujur.
Masa depan kita ialah ekonomi digital supaya mudah dikembangkan
ke rantau Asia Tenggara, dan seluruh dunia.
Visi saya ingin menaikkan ekonomi digital supaya lebih ramai
usahawan tech Malaysia yang menghasilkan produk-produk digital terbaik di
dunia.
Anda ingat UMNO PAS BERSATU faham semua ini?
Mereka hanya tahu jalan sakau wang untuk kaya.
Sebab itu sampai sekarang belum isytihar harta.
#AyuhMalaysia #KitaBoleh #KEADILAN #PakatanHarapan