Secara tiba-tiba, kini sudah wujud suatu kecenderungan baru yang bertujuan untuk memastikan kerjasama politik yang diimpikan Tun Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim benar-benar menjadi kenyataan.
Kecenderungan itu ialah dengan cuba menggambarkan perlunya Tun Mahathir menerima dan membuat pengumuman terbuka menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-10.
Disebutkan jika itu dilakukan, maka tiada sebab kerjasama tidak boleh terjalin semula antara kedua pemimpin tersebut, seterusnya secara automatik juga dapat memastikan UMNO/BN dikalahkan sekali lagi.
Yang berkata demikian, daripada pencacai kaki lima hinggalah kepada penganalisa politik bergelar profesor, segala-galanya kini terletak di pihak Tun Mahathir untuk menentukan berjaya atau tidaknya kerjasama itu.
Setuju Tun Mahathir berbuat demikian, maka terbentuklah kerjasama itu.
Di pihak Anwar pula dinasihatkan agar bersikap lebih terbuka dan jangan terlalu emosi dengan sejarah lama dengan Tun Mahathir.
Tambah mereka, politik itu pragmatik serta tiada musuh yang kekal dan tiada juga sahabat yang abadi.
Di waktu yang sama, sejak semalam tampil pula seorang penyokong kuat Tun Mahathir mengesahkan kononnya Anwar sudah pun bersetuju untuk berjumpa dengan Pengerusi GTA itu bagi membincangkan kerjasama antara mereka.
Kata penyokong tersebut, pertemuan itu akan berlangsung dalam dua atau tiga hari akan datang ini.
Menurutnya, Tun Mahathir secara umumnya sudah bersetuju untuk menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri ke-10 dan pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat selepas pertemuan tersebut nanti.
Katanya, kini tiada lagi isu antara Anwar dengan Tun Mahathir berikutan Pengerusi GTA itu sudah setuju untuk menyokong Pengerusi PH itu sebagai bakal Perdana Menteri seterusnya selepas PRU15 ini.
Ternampak dalam hal ini, walaupun PH melalui kenyataan Saifuddin Nasution Ismail telah memaklumkan gabungan itu akan berlawan mendepani PRU15 tanpa bekerjasama dengan Tun Mahathir, GTA dan Pejuang, masih ada pihak yang belum putus asa mahu menyelamatkan nyawa politik Tun Mahathir.
Membentuk kerjasama dengan GTA bukanlah merupakan keinginan PH atau Anwar, meskipun ada segelintir kelompok dalam PH tidak dinafikan sangat mahu ia berlaku.
Tidak pernah Anwar membuka mulut mahu bekerjasama dengan orang yang telah mengkhianatinya, malah beliau sentiasa gigih bekerja memulihkan kekuatan PKR dan PH dengan keyakinan dan semangat juangnya yang tidak pernah padam.
Sebaliknya yang teringin sangat bekerjasama ialah Tun Mahathir dan GTA, malah sampai ke peringkat beliau sudah tak kisah jika ada pihak yang menganggap keinginannya itu umpama menjilat ludah sendiri.
Tun Mahathir bukan saja merasakan PH berpotensi untuk menang, tetapi juga untuk menumpang kemenangan PH bagi mengelakkan GTA ditimpa kekalahan memalukan, seterusnya dapat pula menyelamatkan karier politik anaknya, Mukhriz Mahathir.
Kalau PH tiada potensi untuk menang, mana mungkin Tun Mahathir sanggup merendahkan dirinya sampai ke tahap tak kisah menjilat ludah sendiri.
Bererti dalam hal ini, sokongan Tun Mahathir kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 sudah tidak bernilai lagi kerana keinginan bekerjasama itu sendiri tercetus atas kepercayaan Presiden PKR itu sudah pun berada di ambang kemenangan.
Yang lebih bernilai sebenarnya hanyalah Tun Mahathir ingin menumpang kekuatan serta kemenangan PH bagi menyelamatkan maruah diri dan masa depan anaknya.
Sedemikian, lebih baik PH berhenti melayan hasrat dan nafsu Tun Mahathir itu atau sesiapa saja yang cenderung bersimpati kepadanya, apa lagi meletakkan kepercayaan dengan menyandarkan perlunya beliau menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 dalam situasi sekarang ini.
Sokongan beliau sudah tiada ertinya lagi setelah sokongan yang sepatutnya kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 sebelum ini dikhianati dan dicuranginya dengan sengaja dan dalam keadaan penuh kesedaran dilakukannya.
Memang benar dalam politik tiada musuh yang kekal dan tiada sahabat yang abadi, tetapi dengan Tun Mahathir, lebih baik kita memilih bermusuh selama-lamanya.
Elok-elok sudah stabil dan aman tenteram tanpa kelibatnya, kemenangan pun tak jauh lagi di depan mata, takut dek kerana adanya beliau bersama nanti, tak pasal-pasal PH jadi bergolak macam dulu semula. – ShahbudinHusin 23/10/2022.