Perikatan Nasional (PN) akan
meletakkan calon daripada komponen parti itu di kesemua 27 kerusi Parlimen yang
dianggap kritikal dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi
menentang calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Naib
Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ada pimpinan UMNO
yang mendabik dada yakin mereka boleh menang di kerusi kritikal itu meskipun
berlaku pertembungan.
“Pertembungan
tidak dapat dielakkan sebab ada dalam kalangan pemimpin UMNO kata, kalau
bertembung pun dia boleh menang, dia rasa ‘cocky’ (yakin), jadi kita lawan,”
katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Turun Padang dan Jamuan Rakyat
serta penyampaian Suratan Hak Milik Tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB)
Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Marang di Dewan Majlis Daerah Marang,
hari ini (20 Oktober 2022), lapor Berita Harian.
Kawasan
itu ialah Kangar, Jerlun, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai
Petani, Kulim Bandar Baharu, Parit Buntar, Tambun, Lumut, Raub, Indera Mahkota,
Kuantan, Temerloh, Sungai Besar, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kapar, Kuala
Langat, Titiwangsa, Kuala Pilah, Tampin, Sri Gading, Tanjung Piai, Tangga Batu
dan Putatan.
Beliau yang juga Menteri Besar
Terengganu berkata tiada sebarang perbincangan untuk memberi laluan
kepada UMNO-BN bagi mengelakkan mana-mana kerusi dikuasai PH.
“PAS
akan ambil kerusi itu macam biasa, tapi sama ada PAS atau Bersatu bergantung
kepada keputusan akhir perundingan antara PAS dengan Bersatu dan juga rakan
dalam PN.
“Ada
yang Bersatu ambil, ada yang PAS ambil dan ada Gerakan ambil. Jadi, kita lihat
hasil rundingan nanti,” katanya.
Ahmad
Samsuri berkata, pengagihan kerusi dalam gabungan PN sudah mencapai 90 peratus
dan pihaknya akan melakukan satu lagi siri perundingan esok.
Berdasarkan
keputusan PRU-14, ke semua 27 kerusi kritikal itu dimenangi PH namun jika
digabungkan jumlah undi diperoleh BN dan PAS pada 2018, jumlahnya lebih tinggi
berbanding yang dimenangi PH.
Semua
kerusi berkenaan dahulu milik UMNO-BN dan PAS, kini milik PH susulan
pertembungan tiga penjuru pada PRU-14.
27
kerusi kritikal itu membabitkan 20 kerusi Parlimen majoriti Melayu yang
dimenangi PH pada PRU-14 dan tujuh lagi yang menyaksikan PH kalah tipis.
Sebelum
ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilaporkan berkata PH mampu memenangi
27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal itu jika menguasai 30 peratus
sokongan pengundi Melayu di kawasan berkenaan.
Katanya,
kemenangan itu boleh dicapai sekiranya PKR dan PH boleh merayu pengundi Melayu
yang mencukupi, walaupun berada dalam pertarungan satu lawan satu, sama ada
bertembung dengan UMNO atau PAS.