LATIHAN SUKERELAWAN BERSAMA BOMBA, SELANGOR SIAP HADAPI BANJIR
Latihan sukerelawan bersama bomba, Selangor siap hadapi banjir
Kerajaan Negeri memulakan latihan sukarelawan negeri bersama pasukan bomba dan penyelamat.
Menurut Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, latihan yang diadakan selama 5 hari itu memilih 37 orang daripada 300 yang mendaftar sebagai sukarelawan penyelamat mangsa banjir.
“Untuk kumpulan pertama mereka ini dilatih oleh pasukan bomba dan penyelamat negeri supaya mereka boleh berdepan bencana sebagaimana pengalaman tahun lepas.
“Mereka boleh berenang, duduk dalam air lama, dilatih suasana penyelamatan tidak tentu masa juga pengendalian bot.
“Pasukan ini bila dah lepas nanti, negeri akan berikan peralatan asas seperti jaket keselamatan dan bantuan lain supaya mereka boleh bertindak efisyen
“Sebelum ini pun mereka banyak terlibat pasca banjir. Sekarang kita sediakan pasukan khas bencana,” katanya dalam sidang media selepas latihan bersama pasukan bomba semalam.
Kata Amirudin, Kerajaan Negeri selepas ini akan mempertimbangkan latihan jangka panjang kepada pasukan terbabit dengan kerjasama bomba.
Mereka juga, katanya, akan dikembangkan ke setiap daerah.
“Kita bincang dengan pihak bomba agar mereka yang dilatih ini boleh melatih sukarelawan di luar sana. Juga melibatkan NGO NGO. Silibus kita kena bincang, tidak cukup 5 hari latihan mungkin beberapa bulan untuk mendapatkan yang terbaik,” katanya.
Mengenai sukarelawan Serve, kata MB, pasukan itu akan tetap fokus kepada pasca banjir bagi tahun ini.
“Serve masih lagi menumpukan pasca banjir. Bomba jika perlu bantuan sokongan boleh panggil mereka.
“Kita ada peruntukan untuk Serve tiap tiap tahun. Tahun depan kita akan tambah. Kita ada peruntukan beli bot, jaket keselamatan dan sebagainya. Lepas ini Serve mungkin boleh datang ketika hujan dan itu kita mahu perlepasan dari bomba.
“Kita tak mahu ia jadi beban kepada pasukan penyelamat kerana perlu diselamatkan pula,” katanya.