Pengumuman pembubaran Parlimen
oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini (10 Oktober 2022)
adalah petanda bahawa semboyan telah dibunyikan bagi mengheret secara paksa
rakyat untuk turun mengundi pada musim hujan ribut dan banjir hujung tahun ini.
Ahli
Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata
keputusan Ismail Sabri itu adalah terdesak kerana rakyat melihat beliau telah
dan sedang menghadapi tekanan daripada kepimpinan UMNO yang didominasi Kluster
Mahkamah.
“Keputusan
PM itu dilihat sebagai terdesak kerana rakyat melihat beliau telah dan sedang
ditekan oleh kepimpinan partinya yang didominasi Kluster Mahkamah.
“Dengan
seorang OKT selaku presiden mereka yang mempunyai 47 kes berkait pecah amanah,
rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan satu yayasan kebajikan.
“Kita tahu bahawa tarikh akhir
untuk sesi bela diri Presiden UMNO tersebut untuk 47 kesnya itu adalah hujung
November ini, di mana keputusan mahkamah untuk membebas atau menghukumnya
adalah pada Disember tahun ini atau selewat-lewatnya Januari tahun depan,”
katanya dalam satu kenyataan hari ini.
OKT
adalah merujuk kepada istilah Orang Kena Tuduh.
Untuk
rekod, Kluster Mahkamah merujuk kepada kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional
(BN) yang telah dihukum oleh mahkamah, selain mereka yang sedang berdepan
perbicaraan kerana kesalahan jenayah, termasuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan
penyelewengan wang rakyat dan negara.
Setakat
ini, pemimpin tertinggi yang telah dipenjarakan ialah bekas Presiden UMNO yang
juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, manakala isterinya Datin
Seri Rosmah Mansor juga didapati bersalah berhubung kes rasuah dan kini menunggu
proses rayuan.
Sementara,
Presiden UMNO sekarang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula bakal mengetahui
nasibnya pada Disember ini, setelah diperintah membela diri terhadap tuduhan
rasuah melibatkan Yayasan Akalbudi.
Mengulas
lanjut, Dr Muhammad Faiz berkata UMNO dan BN juga berusaha menggantikan Peguam
Negara dan Ketua Hakim Negara sebagai helah Kluster Mahkamah untuk membebaskan
diri mereka daripada dibicarakan dan dihukum.
“Tanpa
rakan politik untuk semak imbang dan memantau di Putrajaya sepertimana BN telah
mendominasi Kerajaan Pusat sejak merdeka hingga jatuh korup, maka tidak
hairanlah puak ini menolak, malah mengencam seruan ke arah perpaduan ummah oleh
PAS dan penyatuan nasional oleh Bersatu.
“BN
lupa siapa yang memberi nyawa dan oksigen untuk mereka bernafas kembali dalam
pejabat pentadbiran Kerajaan Pusat di Putrajaya setelah kecundang ditolak
majoriti rakyat dalam PRU-14 lalu.
“Mereka
tidak insaf dek kerana para pemimpin yang angkuh dan koruplah maka parti
keramat mereka itu makin dibenci oleh orang Melayu sendiri terutama generasi
muda sekarang,” katanya lagi.