Belanjawan negara untuk
tahun depan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, 7 Oktober 2022.
Belanjawan baharu perlu
dibentangkan semula di Dewan Rakyat sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)
diadakan sebelum Bajet 2023 diluluskan oleh Parlimen.
Pembentangan
semula itu perlu dilakukan oleh kerajaan baharu yang dibentuk setelah keputusan
PRU-15 diketahui.
Menteri
Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pembentangan semula
belanjawan negara pernah berlaku pada 1999 ketika kerajaan diterajui Tun Dr
Mahathir Mohamad.
“Ini
pernah berlaku sebelum ini. Jadi, kalau rujuk balik apa yang berlaku pada 1999
apabila pembubaran Parlimen berlaku selepas belanjawan dibentangkan.
“Belanjawan dibentangkan
semula, jadi, itulah yang akan berlaku jika ada pembubaran (selepas ini),”
katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari
ini (7 Oktober 2022), menurut MalaysiaKini.
Beliau
menjelaskan sekiranya pun belanjawan dibentangkan semula ia tetap tidak akan
menggagalkan tujuan bajet yang disediakan Kementerian Kewangan.
Ditanya
mengenai mengenai kedudukan Bajet 2023 dan statusnya selepas ini, Tengku Zafrul
meminta media bertanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurutnya
tidak timbul isu belanjawan bertindih jika ia dibentangkan sekali lagi kerana
Parlimen dibubarkan sebelum ia diluluskan.
“Tidak,
tidak ada asas apa yang anda katakan tadi,” katanya merujuk kepada soalan yang
ditanya wartawan.
Tengku
Zafrul menambah, belanjawan disediakan dengan memberi tumpuan kepada hala tuju
masa depan negara, jangkaan ekonomi dan seumpamanya untuk tahun depan.
Pembentangan
Bajet 2023 menjadi tanda tanya hingga ke saat akhir apabila ada desas-desus
yang mendakwa Ismail Sabri akan mengumumkan pembubaran Parlimen dalam tempoh
terdekat.
Terdahulu,
Tengku Zafrul membentangkan bajet defisit melibatkan peruntukan berjumlah
RM372.34 bilion untuk tahun depan, mengatasi bajet tahun ini sebanyak RM40
bilion.
Dalam
Bajet 2023, sebanyak RM94.3 bilion telah diperuntukkan untuk perbelanjaan
pembangunan, yang tertinggi setakat ini, berbanding peruntukan untuk 2022
sebanyak RM71.2 bilion.
Di
bawah perbelanjaan ini, peruntukan yang disalurkan kepada pertumbuhan ekonomi
meningkat dua peratus, mengambil hampir satu perlapan daripada jumlah perbelanjaan
pembangunan.