Bajet 2023: 'Gula gula PRU seronok tetapi kerajaan berwibawa diperlukan menyelamatkan negara'



Rakyat diingatkan agar tidak terpengaruh dengan gula gula pilihan raya yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 yang dibentang oleh kerajaan BN semalam.


Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, belanjawan yang banyak mengumumkan 'pemberian dan bantuan' itu sebaliknya perlu diteliti butirannya kerana jumlah hasil berkemungkinan tidak sepadan dengan perbelanjaan, berikutan ramalan kemelesetan ekonomi dunia pada 2023.


"Ia (bajet) bagus di atas kertas, tetapi seperti yang dikatakan orang, ada kepahitan dalam butirannya.


"Secara amnya, Menteri Kewangan cuba menggembirakan semua orang, tiada apa yang memberi inspirasi.


"Kerajaan potong cukai, beri hadiah pilihan raya. Namun kemerosotan global dijangka pada 2023. Kerajaan Malaysia akan sukar untuk mencapai unjuran kutipan hasil. Adakah Kerajaan akan mengenakan semula GST? Atau Kerajaan akan terus mengambil dana Petronas?


"Unjuran pendapatan sangat optimistik. Tengku Zafrul (Menteri Kewangan) mesti tunjukkan duit itu," katanya dalam satu kenyataan.


Bagi Sim, rakyat Malaysia sebaik baiknya mengulang sikap mereka pada Belanjawan 2018 menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.


Rakyat ketika itu, katanya mengambil gula gula pemberian PM Najib tetapi mengundi Pakatan Harapan (PH) untuk kerajaan yang lebih berwibawa.


"Gula gula yang diberikan kepada rakyat bukanlah sesuatu yang baru berbanding PRU14, apabila Najib mengumumkan gula gula super dalam Bajet 2018.


"Akhirnya rakyat mengambil wang dan mengundi untuk perubahan.


"Pemberian pilihan raya adalah baik tetapi Kerajaan yang berwibawa adalah lebih baik," katanya.


Mengulas mengenai sektor pertanian, mantan Timbalan Menteri Pertanian itu berkata penambahan RM100 juta untuk program subsidi Kementerian terlalu rendah dan tidak memberi impak kepada pengeluaran pertanian yang diharap akan menurunkan harga domestik barang keperluan.


"Kerajaan menambah RM100 juta (meningkat 6%) untuk subsidi MAFI. Ia terlalu rendah berbanding dengan apa yang dihadapi oleh nelayan, penternak dan petani.


"Makanan haiwan global meningkat 200%, baja meningkat 150%. Subsidi 6% tidak mampu membantu petani," katanya.


Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN itu turut mengingatkan penyokong BN - PN yang teruja dengan Belanjawan 2023 jangan bersorak terlalu awal kerana Menteri Kewangan berkata jika PRU berlaku sebelum bajet diluluskan maka ia akan dibentangkan semula.


Menurut Sim, tidak mustahil Kerajaan BN akan menarik balik sebahagian gula gula ketika pembentangan semula itu.


"Jika Parlimen dibubarkan sebelum diluluskan, kami menjangkakan bajet baru yang disemak akan dibentangkan. Bajet baru itu akan menjadi bajet pil pahit," katanya lagi.