Ahli akademik separuh masak perlu dikenal pasti dan diasingkan daripada ahli akademik sebenar
Pembonsaian minda masyarakat Melayu tidak akan lengkap dengan
hanya curahan propaganda dan pernyataan-pernyataan yang menakut-nakutkan. Suatu
unsur yang kukuh perlu diperkenalkan. Di sinilah agama telah dieksploitasi dan
disalahgunakan.
Penggabungan unsur agama dan bangsa telah memperkasakan proses
pembonsaian minda Melayu. Masyarakat Melayu bukan sahaja dituntut untuk menelan
propaganda yang ditabur secara bulat-bulat, tetapi dengan tafsiran agama yang
telah putarbelitkan juga dituntut untuk tidak mempersoalkannya.
Dengan ini proses pembonsaian minda Melayu dapat dilaksanakan
tanpa sebarang halangan. Tugas untuk membonsaikan minda Melayu ini telah
diberikan kepada ahli akademik Melayu yang telah dipengaruhi pemikiran mereka
oleh Umno.
Mereka yang sering mengikuti perkembangan akademik tanah air
mungkin menyedari tentang timbulnya isu-isu tidak puas hati mengenai
perlantikan naib-canselor dan lain-lain jawatan tertinggi di
universiti-universiti, yang tidak dibuat berdasarkan kebolehan tetapi
berasaskan kronisme dan kesetiaan terhadap parti pemerintah.
Pucuk pimpinan tertinggi ini seterusnya akan melaksanakan agenda
Umno dengan tindakan-tindakan yang cuba menutup mulut mereka-mereka yang
lantang memberikan pandangan menentang dengan melabelkan mereka ini sebagai
“anti-establishment”.
Dalam hal ini kesalahan mereka adalah kelantangan mereka
bersuara dalam mengemukakan isu-isu yang melibatkan salah laku pentadbiran,
ketiadaan langkah yang positif untuk meningkatkan taraf akademik yang semakin
menurun, dan kes-kes kecurangan akademik yang tidak dibendung.
Mereka ini akan disisihkan dari arus utama kerjaya dan akan
kekal di situ sehinggalah mereka bersara atau keluar meninggalkan universiti.
Layanan yang diberikan kepada mereka ini akan digunakan sebagai
amaran untuk menghalang mereka-mereka yang lain dari melakukan perkara yang
sama.
Langkah ini amat berkesan terutama di kalangan mereka yang
baharu sahaja berkecimpung di dalam dunia akademik. Di kalangan mereka yang
oportunis, ini adalah satu langkah yang mudah diikuti.
Malah ada yang sanggup untuk mengampu pucuk pimpinan universiti
semata-mata untuk menentukan masa depan yang lebih cerah dan peluang kenaikan
pangkat yang mudah. Tindakan mereka ini biasanya akan menghasilkan keputusan
yang lumayan.
READ MORE: 'Bonsaisation' of people's minds: Biggest hindrance
to nation's progress
Oleh kerana tujuan utama kewujudan pucuk pimpinan sebegini
adalah untuk membonsaikan pemikiran, nilai mutu akademik tidak akan dipedulikan
langsung.
Kes-kes curangan akademik di kalangan para academic dan pelajar
biasanya dibiarkan berleluasa malah ada yang cuba ditutup mengakibatkan
perbuatan ini semakin membiak.
Mereka yang mengambil kesempatan ini juga terdapat dari golongan
etnik yang lain yang menyedari akan faedah budaya mengampu bodek.
Keadaan menjadi semakin genting apabila mereka yang separuh
masak diambil untuk menjadi ahli akademik. Dengan ijazah yang ada, serta
mempunyai hubungan atau jaringan politik tetapi tidak mempunyai bakat,
kemahiran, sikap dan tahap intelektual yang diperlukan, mereka ini diambil
untuk menjadi tenaga pengajar.
Perbincangan yang rancak baru-baru ini telah membicarakan isu
penghasilan graduan PhD yang amat ramai bilangannya oleh sebuah universiti dan
jumlah pelajar kelas pertama yang begitu besar yang telah dikecualikan
pembayaran pinjaman pelajaran oleh kerajaan.
Ini mencerminkan yang penekanan kita dalam bidang pelajaran
hanyalah kepada jumlah pelajar yang dikeluarkan dan bukannya terhadap mutu
pelajaran yang diberikan. Ini adalah kerana sistem pendidikan kita telah banyak
dipolitikkan.
Akibatnya terdapat banyak kekeliruan yang disengajakan berlaku.
Pelajaran telah disatukan dan disalah ertikan dengan kepintaran yang mana ini
adalah satu tanggapan yang salah.
Sebagaimana yang pernah disuarakan oleh Richard Feynman, seorang
tokoh teori fizik yang terkenal: “Jangan sekali-kali terkeliru di antara
pelajaran dan kebijaksanaan. Anda mungkin mempunyai ijazah PhD tapi masih kekal
sebagai seorang dungu.”
Malangnya masyarakat kita masih terperangkap di dalam kekeliruan
ini.
Dengan tahap mutu akademik yang rendah kita telah di banjiri
dengan gerombolan ahli akademik yang mempunyai tahap intelek dan pengetahuan
yang cetek. Bagi mereka satu-satunya cara untuk meningkat adalah dengan bermain
politik.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila penjawat awam yang
telah bersara, melalui jaringan kenalan mereka dilantik ke jawatan akademik
yang kanan berdasarkan gred gaji mereka sebelum bersara, semata-mata atas dasar
“pengalaman profesional” mereka.
Walau pun tidak mempunyai sebarang pengalaman mengajar dan menyelia
pelajar, membuat penyelidikan dan menghasilkan penulisan akademik, mereka ini
dibayar dengan gaji yang lumayan. Ini adalah satu tanggapan yang tidak logik
dan didorong oleh kepentingan sendiri.