Ahli akademik separuh masak perlu dikenal
pasti dan diasingkan daripada ahli akademik sebenar
Oleh Teh Yik Koon
Kadangkala kita mungkin terserempak dengan buku atau penulisan
yang meninggalkan kesan yang mendalam di dalam pemikiran kita.
Pada saya, salah satu daripadanya ialah rencana yang ditulis
oleh Hishamuddin Rais yang bertajuk “Yang bonsai dan yang dibonsaikan“.
Istilah bonsai yang digunakan oleh Hishamuddin merujuk kepada
seni tanaman hiasan Jepun yang mana pokok-pokok mini dihasilkan daripada
pokok-pokok yang lebih besar dari jenis yang sama.
Dalam kontek ini, beliau telah menyamakan proses mengecilkan
pokok-pokok ini dengan proses penyempitan minda orang-orang Melayu.
Menurut Hishamuddin:
Selama 22 tahun dengan pemerintahan kuku besi, Mahathir telah
bersekongkol dengan Umno untuk menebar jala dan jaring agar tidak
berkemungkinan manusia Melayu dapat memerdeka dan membebaskan fikrah mereka
dari hegemoni Umno. Inilah yang dinamakan pembonsaian fikrah Melayu.
Umno telah memegang tampuk kuasa di negara ini selama 60 tahun, termasuk semasa negara menghadapi pertumbuhan ekonomi yang pesat.
Dengan hasil minyak yang melimpah serta dibantu oleh Dasar
Ekonomi Baru, pemimpin politik Umno tanpa perlu bekerja keras dapat menikmati
kekayaan dan kemewahan dengan cara yang mudah.
Di zaman kegemilangan ini, acara-acara Umno tidak ubah seperti
satu pertunjukan fesyen di mana unsur-unsur kemewahan baik dari segi pakaian,
barang kemas atau kenderaan ditayang dengan megah untuk semua melihatnya.
Kekayaan dan kemewahan ini telah menyebabkan mereka menjadi
ketagihan. Dengan itu Umno perlu terus mengekalkan kuasanya dengan plot dan
perancangan yang perlu dilaksanakan dengan apa jua sekali pun.
Langkah pertama yang perlu diambil ialah dengan menanam di minda
masyarakat Melayu perasaan serba kekurangan dan persepsi yang kedudukan mereka
terancam.
Minda mereka telah disogok dengan amaran yang mereka telah jauh
ketinggalan dalam segala bidang dan apa yang masih tinggal dengan mereka –
kekayaan mereka, tanah mereka, hak-hak mereka dan lain-lain – akan diambil oleh
bangsa lain terutama orang Cina.
Nada amaran yang berbaur perkauman ini menguatkan lagi perasaan
yang diri mereka terancam dan menambah rasa kebencian mereka terhadap kaum
Cina. Mereka seterusnya disarankan untuk menyokong Umno, satu-satunya platform
yang boleh menyelamatkan mereka.
Minda penduduk luar bandar di kalangan ramai orang Melayu memang
mudah dikuasai. Cabaran yang timbul ialah bagaimana untuk mempengaruhi
pemikiran golongan intelektual Melayu yang sebahagian besarnya adalah dari
kalangan penjawat awam kerajaan dan ahli akademik.
Bagi tujuan ini, Biro Tata Negara (BTN) telah ditubuhkan dengan
tujuan untuk menguasai minda mereka. Penjawat awam dan ahli akademik telah
diwajibkan untuk menghadiri kursus BTN sebelum mereka diberikan biasiswa dan
dilepaskan untuk menyambung pengajian.
READ MORE: 'Bonsaisation' of people's minds: Biggest hindrance
to nation's progress
Tidak semua di kalangan mereka ini berjaya di kuasai minda
mereka.
Bagi mereka yang berjaya dipengaruhi, kumpulan ini dengan segera
akan dikenalpasti untuk menjadi tompok penyebaran dalaman agenda propaganda
parti pemerintah (deep state). Bagi mereka yang memilih laluan ini, syarat
laluan kerjaya yang baru akan tersedia.
Kecekapan dan kecermelangan tidak lagi menjadi kriteria utama.
Di sebaliknya kriteria ini telah diganti dengan tahap kesetiaan terhadap parti
pemerintah dan semangat perkauman yang ditunjukkan – faktor-faktor utama yang
menjadi landasan laluan alternatif yang mudah untuk peningkatan kerjaya.