Dari Rafizi Ramli
15 Ogos 2022
Saya berdoa supaya kebenaran akhirnya ditegakkan apabila
perbicaraan akhir kes SRC bermula hari ini di Mahkamah Persekutuan.
Inilah tempat terbaik untuk Dato’ Seri Najib Razak membentangkan
fakta, bukannya di Facebook seperti yang dia buat selama ini. Di mahkamah ada
peraturan yang mengatur penghujahan kita mengikut undang-undang, supaya kita
tidak boleh berbohong dan putar alam ikut suka kita.
Saya selalu turun naik mahkamah semasa Najib berkuasa dan
diteruskan pula semasa PH berkuasa. Saya menang semua kes-kes saya (14 kes
semuanya) berdasarkan hujah perundangan mengikut fakta.
Sebab itu bagi saya, bila ke mahkamah ini kita akan berani jika
kita benar.
Semua kes saya melibatkan pembongkaran skandal-skandal kewangan
kerajaan bermula NFC, 1MDB, Tabung Haji, MARA dan LTAT. Malah, Najib dan Rosmah
sendiri menarik balik saman mereka berhubung dakwaan saya yang dana negara
diselewengkan sedang Rosmah bermewah membeli barang kemas mahal.
Jika kita ada fakta, maka mudah bila kita berdepan di mahkamah.
Cuma keadaan saya tidak sama dengan kes-kes Najib. Saya diheret
ke mahkamah oleh kerajaan yang ingin menutup penyelewengan mereka yang
menyebabkan berbilion wang rakyat hangus. Satu dunia tahu, siap dengan bukti
fizikal seperti kondo-kondo, hartanah di Australia, keterangan pesara tentera
yang lewat dibayar pencen dan pelaburan-pelaburan Tabung Haji yang hancur.
Kes Najib bersabit pencurian wang pencen rakyat dari KWAP yang
masuk ke akaun banknya, lalu dia berjoli sakan membeli barang kemas mewah,
membayar kad kredit dan sebagainya. Bukti dari segi “money trail” cukup jelas
dan dakwaan wang itu datang dari penderma Arab telah dibuktikan di mahkamah
hanyalah pembohongan saja.
Sebab itu saya malu bila ada bekas pemimpin negara sebegini.
Kepada anggota Umno, dia beri arahan menjawab dan membalas
setiap pendedahan saya dalam masa 3 jam. Sebab itu akhirnya semua pendedahan
saya yang terbaru tidak dijawab, sebaliknya diputar dengan pelbagai tuduhan
yang kononnya saya Raja Fitnah (supaya rakyat menolak mentah-mentah tanpa
berfikir).
Di mahkamah pula, Najib mencari segala alasan untuk melambatkan
kesnya. Di FB tangkas dalam 3 jam, di mahkamah kalau boleh 30 tahun pun lagi
mahu dipanjangkan.
Di FB, dia serba tahu dan serba benar. Di mahkamah dia serba
tidak tahu dan serba tidak ingat.
Dalam banyak-banyak perkara yang berlaku sejak 2018, antara yang
saya paling banggakan ialah kehadiran hakim-hakim yang bukan saja jujur tetap
CERDIK seperti YA Dato’ Nazlan.
Beliau senior saya di MCKK dahulu (walaupun 10 tahun lebih
senior dari saya), anak pengetua MCKK yang dikenali seorang yang pendiam dan
cerdik dari zaman sekolah. Beliau diterima dan lulus dari Oxford University,
seterusnya mempunyai kerjaya yang cukup baik pada umur yang muda.
Tokoh yang begini sepatutnya kita sanjung dan jadi inspirasi
kepada anak-anak muda, bahawa kita boleh berjaya dan dihormati tanpa perlu
rasuah di negara ini.
Najib yang selalu memainkan sentimen Melayu, bila kantoi di
mahkamah, menggerakkan kempen fitnah menuduh YA Dato’ Nazlan sebagai seorang
yang terpalit dengan rasuah. Ia diulang-ulang oleh anggota Umno yang mengundang
dosa kering setiap hari.
Memfitnah saya dengan pelbagai tuduhan yang direka, itu boleh
diterima kerana saya ahli politik.
Memfitnah YA Dato’ Nazlan, anak Melayu terbilang yang mewakili
jati diri orang Melayu, yang dihormati rakyat pelbagai kaum, adalah satu
perbuatan terkutuk.
Saya berdoa supaya Allah melindungi hakim-hakim kita yang jujur
dan adil. Sama-sama kita doakan supaya hakim-hakim yang jujur dipermudahkan
urusan mereka dan kebenaran ditegakkan di negara ini.
Najib pula, apa lagi yang kamu mahu #SayaPutarJib
kali ini di mahkamah tertinggi negara? Alasan apa lagi yang kamu fikirkan untuk
disebarkan cyber trooper kamu?
Allah telah tetapkan segala-galanya dan Insya Allah ada hikmah
dalam setiap yang berlaku.