Pimpinan PKR siap tempur PRU 15
Tumpuan penuh diberikan oleh pimpinan KEADILAN pada mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) petang semalam ke atas Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 berikutan pembubaran Parlimen boleh dilakukan pada bila bila masa.
Menurut Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mesyuarat dan lantikan jawatan kali ini bertujuan untuk memastikan persiapan PRU tersebut berjalan lancar.
“Kita tumpu pilihan raya, pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat (JPRP) menumpukan hal itu, persiapan. Kemudian saya juga buat beberapa pelantikan yang baharu, yang akan diumum malam ini,” katanya.
Bagi Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Aminuddin Harun, PRU memang telah dijadikan ‘mantera’ ketika kempen pemilihan parti yang lepas, sebaik habis pemilihan maka anggota perlu tumpu pilihan raya.
“Itu yang kita katakan awal sejak pemilihan lalu, apabila kita tamat pemilihan tugas kita untuk memastikan jentera pilihan raya KEADILAN dapat digerakkan dengan teratur, tersusun, dengan baik. Itu harapan kita. Hari ini panjang lebar cerita pilihan raya,” katanya.
Mengulas isu Naib Presiden diminta menjaga banyak negeri, beliau berkata itu sebahagian strategi pilihan raya dan anggota bawahan perlu memahaminya.
“Tugas yang diberikan kepada semua Naib Presiden. Saya mengambil amanah ini, saya yakin dapat membantu setiap negeri. Keputusan presiden dan pimpinan tepat dalam meamstikan bahawa KEADILAN dalam keadaan yang baik.
“Fokus kita bukan jawatan tetapi memastikan kemenangan pilihan raya,” katanya yang menjadi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.
Sementara itu, Ahli MPP, Yahya Sahri pula berpendapat lantikan MPP dan wakil KEADILAN ke Pakatan Harapan yang dibuat mencerminkan strategi pilihan raya kerana dianggotai oleh pimpinan yang berpengalaman.
“Hari ini kita mengadakan MPP kali kedua. Presiden mengumumkan beberapa lantikan jawatan MPN dan beberapa jawatan khas parti dilantik pengarah yang diberikan tugas.
“Kita lihat menjurus kepada persediaan pilihan raya tidak lama lagi.
“Kita berkempen dan meraih undi dengan cara berbeza (era digital). Perlu ada penambahbaikkan. Itu telah dibentangkan oleh (Timbalan Presiden) Rafizi tadi,” katanya.
Pengarah Pendidikan KEADILAN Dr Maszlee Malik pula berkata, semboyan pilihan raya telah ditiupkan dan selepas ini gerak kerja peringkat bawahan mesti diberi keutamaan.
“Mesyuarat MPP hari ini merupakan semboyan dari presiden dan timbalan untuk semua pimpinan MPP dan ketua cabang juga ahli mempersiapkan diri untuk PRU 15.
“Jadi perbincangan lebih kepada untuk kita menggerakkan usaha lebih berstrategi dan menjadikan KEADILAN sebagai parti pilihan utama rakyat Malaysia,” katanya.