Ia sebuah detik katarsis bagi negara saatnya rakyat terkesima dapat melihat Najib dihantar ke penjara
Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan untuk mengekalkan sabitan
bersalah oleh Mahkamah Tinggi selepas empat tahun yang cukup melelahkan secara
emosi, akhirnya igauan ini berakhir.
Saat saya menulis ini, sejurus selepas keputusan diumumkan,
hujan rintik turun di Pulau Pinang tempat saya tinggal, membasahi seakan
menyucikan negara ini.
Di seluruh negara, kedengaran nafas lega dan puas dilepaskan.
Ramai yang tidak percaya bagaimana Najib Razak, bangsawan bermulut manis dari
keluarga Razak Hussein, yang cukup bergaya memakai sut Armani, akhirnya menuju
ke penjara.
Perdana menteri Malaysia yang pertama ke penjara. Siapa yang
dapat mempercayainya? Ada yang menyebutnya sama seperti apa yang berlaku di
Korea Selatan.
Hantu
dari masa lampau
Tidak kiralah anda mempercaya hantu atau tidak, memang ada
‘hantu’ dari masa lampau yang berterusan menghantui negara kita.
Pernah seketika, kartunis tersohor Zunar melukis lakaran roh
wanita Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu, yang bergentayangan di
langit Putrajaya.
Ingati juga beberapa yang lain turut dibunuh dalam keadaan penuh
misteri tanpa adanya penjelasan yang kukuh – bankir Hussain Ahmad Najadi,
pendakwa raya Kevin Morais dan jauh pada 1980-an dulu, auditor bank Jalil
Ibrahim.
Support
the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:
·
Sign up for Aliran's free daily email
updates or weekly newsletters or both
·
Make a one-off
donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
·
Make a regular pledge or
auto-donation to Aliran every month or every quarter
Pembunuhan mereka sungguh mengejutkan negara. Mereka yang
disyaki kemudian ditahan. Namun dalam kebanyakan kes ini, seperti ada perkara
lain selain daripada pembunuhan semata-mata.
Mangsa yang terakhir, Jalil, jika beliau masih hidup hari ini,
akan memberitahu kita bagaimana rasuah di Malaysia mempunyai kisah yang
panjang. Saya pertama kali mendapat tahu tentang rasuah dalam skala
besar-besaran ketika terdengar sanak-saudara di Petaling Jaya membicarakannya
dalam nada berbisik melibatkan skandal BMF sebanyak RM2.5bn di Hong Kong.
Juruaudit Jalil dihantar ke Hong Kong pada 1983 bagi siasatan –
untuk beliau kemudiannya dibunuh saat sedang mencari bukti, tubuhnya kemudian
dibuang ke kebun pisang.
Pastinya, rasuah sudah wujud di Malaysia jauh sebelum itu. Pada
1970an, bekas Menteri Besar Selangor Harun Idris dihukum bersalah kerana menipu
bank dan dijatuhkan hukum enam tahun penjara. Jumlah yang terlibat? RM7.9 juta.
Jumlah yang terlibat dikira kecil jika dibandingkan dengan
jumlah pada hari ini. Skandal BMF mengejutkan negara kerana ia merupakan kes
rasuah melibatkan berbilion ringgit yang pertama. Ia menunjukkan bagaimana
jauhnya kita menjadi sebuah negara kleptokrasi saatnya jumlah RM2.5bn dalam
skandal BMF hari ini sedikit pun tidak mengejutkan kita semua.
Sekarang kita mempunyai sekurangnya RM20bn yang didakwa dicuri
dari 1MDB. Skandal lain pula adalah melibatkan sekitar RM6bn yang dibayar bagi
kontrak enam kapal tempur, yang sehingga kini tidak disiapkan.
Barangkali masih ada yang lain. Bayangkan berbilion jumlah yang
lain yang sekarang disembunyi di bank pesisir di luar negara dan akaun bank
rahsia atau wang yang digelapkan melalui pembelian hartanah di luar negara.
Ketika waktu Mahathir, kapitalisme kroni di peringkat elit
semakin memuncak. Jangan dilupakan kontroversi penjaminan keluar beberapa bank
serta syarikat besar yang rapat dengan Mahathir ketika itu.
Serta juga penswastaan perkhidmatan awam kepada kroni,
sanak-saudara serta pendukung parti, serta kebangkitan syarikat berkaitan
kerajaan yang ditubuhkan tanpa ketelusan.
Segalanya bermula ketika Dr Mahathir Mohamad melancarkan polisi
Malaysia Incorporated-nya pada 1981. Ideanya adalah supaya sektor awam dan
swasta swasta bekerjasama sebagai sebuah Syarikat Malaysia. Namun cara fikir
korporat turut meresap masuk, sekali gus mempengaruhi polisi penswastaan ala
Thatcher di Malaysia dua tahun kemudiannya.
Penswastaan paling kontroversi adalah melibatkan operasi Tenaga
Nasional diswastakan ke syarikat-syarikat penjana tenaga swasta, yang
memberikan keuntungan besar untuk syarikat tersebut manakala beban ditanggung
oleh Tenaga. Penswastaan ini sekali gus mendapat tentangan hebat dari pengerusi
eksekutif Tenaga Nasional Ani Arope yang dianggap wira oleh ramai orang kerana
bertegas dengan keputusannya saat melihat bagaimana berat sebelah syarat yang
dikenakan kepada Tenaga Nasional.
Masalahnya dengan Malaysia Inc – iaitu, merasakan negara seperti
sebuah syarikat – sekali gus merentap jiwa bangsa dalam prosesnya itu. Kejayaan
hanyalah diukur dalam soal ringgit dan sen.
Jadi, berbanding memperbaiki perkhidmatan awam seperti hospital awam serta sekolah, fokusnya beralih kepada pelancongan perubatan yang
digerakkan keuntungan, sekolah antarabangsa bagi kelas menengah
atas, dan hospital swasta bagi mereka yang mampu. Ahli politik dan keluarga
akan menghurung institusi sebegini manakala rakyat marhaen terpaksa berebut
menggunakan sekolah awam yang diabaikan, hospital awam yang tidak cukup
kakitangan serta sesak serta pengangkutan awam yang tidak cekap.
Ada benda lain juga yang berlaku.
Projek
mega yang merancak
Ia tidak mengambil masa yang panjang bagi Mahathir dan
pengikutnya untuk bermewahan dengan projek infrastruktur mega dari lebuhraya ke
lapangan terbang sampailah ke empangan mega.
Beberapa projek ini memang diperlukan, namun apa yang
dikhuatirkan adalah bagaimana projek mega lainnya itu diada-adakan sekadar mahu
memberi kontrak besar kepada kroni korporat berbanding kepentingan awam. Cuba
telusuri kisah bagaimana Empangan Bakun dan projek empangan mega lainnya itu –
dan bagaimana ia kemudiannya diberikan kepada syarikat kroni saatnya Orang Asal
yang tinggal di kawasan empangan itu kemudiannya dipindahkan.
Semakin ramai pemimpin politik, hatta di peringkat negeri,
bergantung kepada idea projek mega, yang kononnya dijalankan bagi kepentingan
rakyat. Seringkali, ia diberikan kepada syarikat kroni melalui rundingan dan
jika pun ada tender, bagaimana kita tahu semuanya dilakukan tanpa
penyelewengan?
BERSAMBUNG KE SIRI KE 2