Ia sebuah detik katarsis bagi negara saatnya rakyat terkesima dapat melihat Najib dihantar ke penjara
By Anil Netto 28 2022
Mengapa ramai ahli politik gemar akan projek mega, seperti
lapangan terbang, lebuhraya, pengangkutan mega, projek reklamasi yang besar
saatnya kita tahu ia tidak mampan dan sukar dilakukan secara perbelanjaannya?
Ia kerana hampir tiada ketelusan bagaimana sumber awam itu
diagihkan, sekali gus memberi peluang besar untuk ‘komisyen’, ‘perkongsian
keuntungan’ yang tersembunyi, kos yang dinaikkan, serta pemberian kontrak
pembinaan kepada kroni.
Mahathir dan anak didiknya yang cepat belajar
Dan tiba-tiba kes 1MDB meletup. Di bawah pentadbiran Najib,
Malaysia akhirnya mencapai status ‘berkelas dunia’ – menjadi kleptokrasi paling
masyhur. Seluruh dunia tahu mengenainya.
Pentadbiran Najib hanya meneruskan apa yang dimulakan ketika
pentadbiran Mahathir dahulu ke satu peringkat yang lebih besar.
Dan kini muncul mula skandal tentang kapal tempur. Apakah kita
terkejut lagi sekarang?
Apa sebenarnya yang memotivasi ahli politik? Kuasa? Wang? Namun
bukankah mereka ini dibayar gaji dan pencen yang kebanyakan dari kita hanya
dapat membayangkannya saja? Mengapa ia tidak pernah cukup? Mengapa mereka perlu
segala macam lantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dibebani
hutang bagi menerima lebih banyak wang dan keistimewaan? Apa kerana duit masih
tidak cukup?
READ MORE: Ghosts of Malaysia Past: New life for
Malaysia as Najib goes to prison
Saya teringat sebuah petikan dari kitab yang saya parafrasa:
tiada ahli politik yang dapat berkhidmat untuk kedua-duanya rakyat dan wang.
Mereka hanya dapat berkhidmat untuk rakyat atau untuk wang.
Benar, tidak semua ahli politik tamak dan ‘lapar duit’ – namun
terlalu sedikit bilangan mereka yang begitu. Barangkali wakil yang diundi kita
ini benarlah cerminan kita sebagai pengundi sendiri. Jika kita membiarkan saja
rasuah berleluasa, lambat-laun kita jugalah yang terpaksa menerima ahli
parlimen dan menteri yang menjadi cerminan kepada sistem masyarakat kita yang
bercelaru ini.
Masalahnya jika pun ada segelintir ahli politik yang jujur,
mereka juga terpaksa berdepan dengan godaan yang akan dihadapi mereka saat
mereka mendapat jawatan. Adakah mereka sanggup untuk mengelakkan diri daripada
dibelenggu percanggahan kepentingan? Atau akhirnya mereka akan terjelepuk di
depan habuan para pelobi dan pemaju serta logik Najib “you help me, I help
you”?
Menolak
godaan
Saya pernah sekali berbual dengan seseorang yang terlibat dalam
memulakan agensi anti-rasuah, yang akhirnya menjadi antara agensi yang cukup
dihormati di seluruh dunia.
Beliau memberitahu saya kunci bagi mengurangkan rasuah adalah
dengan mengurangkan peluang untuk melakukan rasuah dan menghilangkan sumber bagi
godaan. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan teknologi maklumat di mana
penggiliran pegawai penguatkuasa boleh dilakukan dengan rawak dan memastikan
pembahagian tugas yang jelas, agar tidak ada seorang pun yang dapat mengumpul
kuasa dan akhirnya menjadi mangsa godaan.
Selain dari itu, kita juga memerlukan kawal imbang institusi.
Syukur, kehakiman kita teguh dan bersama rakyat dalam saat yang diperlukan ini.
Terlalu banyak kerosakan sudah terjadi kepada Malaysia serta
imejnya di peringkat antarabangsa. Ini masanya untuk menolak pemimpin perasuah
dan mengundi mereka yang mengutamakan kepentingan rakyat – dan bukannya
kepentingan korporat.
Rakyat juga perlu berusaha bersama. Kita perlu bangkit dan
merampas semula negara kita. Kita perlu mendukung kehakiman yang mandiri dan
menempelak ahli politik yang menggunakan agama dan kaum bagi mengalih perhatian
saatnya mereka sedang menjarah hasil mahsul negara kita yang kaya. Dengan
sumber yang sebegini banyak, sepatutnya tiada yang miskin atau ditinggalkan di
Malaysia.
Kita perlu fokus kepada isu sebenar yang digariskan dalam Agenda Rakyat, dengan lima tuntutan ditujukan kepada calon dalam pilihan raya akan datang supaya mereka dapat membahaskan isu penting yang memberi kesan kepada rakyat. Perubahan iklim juga sudah memberi kesan buruk kepada kita semua. Kemiskinan relatif berdasarkan tinjauan nampaknya pada tahap 16% – dan boleh jadi lebih tinggi. Bagaimana pula dengan isi rumah yang tidak dapat dinampak: penduduk di pedalaman, migran dan pelarian yang berpendapatan rendah dari garis kemiskinan?