MONO RACE

 





  MONO RACE

1. PRU nak dekat. Maka seperti biasa, dalam masa 2-3 bulan ini, kita akan dihidangkan dengan lebih banyak isu kaum dan agama. Bagi parti berorientasikan agama, paluan dalil akan makin kuat, seolah tafsiran agama mereka yang paling sempurna. Orang lain jahil belaka.

2. Kalau dulu, orang yang berlainan pandangan, dilabel automatik sebagai “syiah” dan “sekular”. Sekarang dah lain, kalau tak sedap pada telinga mereka, “wahabi” dan “liberal” dicopnya kita. Ini perangai "hollier than thou" yang kita kena tentang.

3. Bagi parti berorientasikan kaum pula makin hebat. Dari puak kanan, seperti biasa isu ketuanan bangsa akan dipalu habis mungkin. Sekarang ditambah satu lagi. Isu kedaulatan negara pula dispin2. Sampai orang baca pun naik pening.

4. Puak belah kiri pula masih lagi bagi janji petik bintang. Menjanjikan negara sekular dan pentadbiran ala republik Singapura. Kesamarataan mutlak dan ikut merit sepenuhnya. Itu juga retorik basi untuk pengundi tegar mereka.

5. Kadang saya berpikir, bumi mana yang mereka pijak? Adakah mereka sedar Malaysia ini bukan negara MONO RACE. Komposisi rakyat kita cukup majmuk dan pelbagai.

6. Negara mono race secara definisinya ialah negara yang punyai rakyat daripada kaum/ bangsa yang sama, melebihi 85% jumlah penduduk keseluruhan. Negara mono race adalah seperti China, Japan, Korea dan kebanyakan negara Eropah.

7. Di Asia Tenggara, kebanyakan negara juga punyai populasi yang sebegitu: Thailand, Filipina, Indonesia, Brunei. Negara2 ini populasi penduduk majoritinya dari bangsa yang sama lebih 85%.

8. Namun Malaysia dan Singapura tidak layak dikategorikan sebagai negara MONO RACE. Seperti yang saya pernah post dulu. Malaysia dan Singapura dijajah sekian lama.

9. Pulau Pinang, Melaka dan Singapura, kita gadai selamanya. Makanya, orang lain pun take over. Singapura selepas digadaikan selamanya kepada British, pendatang Cina menguasai populasinya sejak kurun ke-19 lagi.

10. Mengikut cencus (bancian) pada hujung tahun 1890-an lagi, 75% penduduk di Singapura terdiri daripada bangsa Cina. Kaum Melayu jadi kaum minoriti pula. Sehingga tahun 2021, komposisi penduduk Singapura adalah 76% Cina, 15% Melayu dan 7.5% India.

11. Bagaimana pula dengan Malaysia? Kita disajikan dari awal “orang kita” penduduk majoriti seolah-olah Malaysia ini hanya punya satu bangsa. Hakikatnya ini komposisi rakyat terkini:

Melayu Islam: 52%

Bumiputera Sabah & Sawarak: 18%

Cina : 22%

India: 6%

12. Orang politik selalu katakan pada kita, Melayu Islam penduduk majoriti tertinggi sehingga 70% populasi. Walhal, peratus ini merangkumi kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak. Hakikatnya, ramai rakan2 kaum Iban dan Kadazan yang beragama Kristian. Mereka ini bukan Melayu dan bukan Islam, bukan?

13. Melayu Islam hanya 52% jumlah keseluruhan rakyat Malaysia. Ianya lagi kecil daripada jumlah penduduk Cina di Singapura iaitu sehingga 76%.

14. Ini statistik yang semua pemimpin kena faham dan hadam. Negara kita negara pelbagai bangsa. Maka politik pun kena berorientasikan sama.

15. The FAR LEFT, kena faham yang kondisi Malaysia tak sama dengan Singapura. Penduduk majoriti di sini masih lagi ada isu2 sensitif yang tidak boleh disentuh. Isu raja, agama Islam, Bahasa Melayu dan semua hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, jangan lah jadi modal politik korang. Jangan lagi menipu pengundi bukan Islam. Nak tukar pun mustahil, semua itu kena perkenan Majlis Raja2 Melayu.

16. Lagi satu, kena faham. Konsep minoriti memerintah majoriti ini ramai rakyat tak boleh terima. Amerika pun beratus tahun baru boleh terima Presiden Kulit Hitam pertama. Makanya kalau berpeluang naik kembali, jangan la lebih sudu dari kuah. Walaupun anda kompeten, perlu buang sikap chauvinist dan kiasu tu. Itu pantang besar rakyat yang majoritinya Melayu.

17. The FAR RIGHT pula, sudah2 la tu dimomokkan pengundi dengan isu kaum dan agama. Kami dah nampak itu semua modal korang nak berkuasa. Bila naik memerintah apah pun tak guna. Cabutan judi makin meningkat, pemandu mabuk masih bersepah. Hakikatnya set2 ni naik pun, Islam “masih lagi terancam” kalau ikut definisi mereka2 ni. Jadi apa gunanya, korang tebuk atap dan jadi Kerajaan? Tak seperti yang kami harapkan.

18. Jangan sekali kita jadi seperti Sri Lanka. Isu politik yang dijual berabad lama ialah isu perkauman. Sinhalis vs Tamil. Mereka brainwash rakyat mereka, perlu lantik pemimpin sebangsa. Kalau korup pun tak mengapa.

19. Makanya, apa jadi? Klan Rajapaksa memerintah negera berulang kali. Rasuah dan ketirisan melampau mereka pelopori. Sebab pemimpin sebangsa, rakyat pejam mata. Negara sampai bankrap dan hura hara, baru rakyat Sri Lanka sedar. Diserang Kerajaan dan Perdana Menteri. Si PM dah kaya raya dan cabut lari. Tinggal lah rakyat membetulkan negara sendiri.

20. Sudah ada contoh yang kita perlu belajar. Politik kaum ini akan memecah belahkan kita. Jadi apa peranan rakyat untuk melindungi negara? Saya cadangkan berikut:

(i) Tolak dan cemuh semua pemimpin RACIST, tak kira mana parti. Jangan diangkat lagi mereka menjadi pemimpin masa PRU15 nanti.

(ii) Angkat dan embrace politik kualiti, politik dasar dan politik khidmat dalam memilih pemimpin. Tolak jauh2 politik partisan. Totok parti dan pemimpin itu sebenarnya elemen toksik dalam membentuk Kerajaan. Ingat amanat kita sebagai pengadil bukan penyokong taksub.

(iii) Lihat rakan senegara, tidak jauh beza dengan kita. Sama2 cari makan untuk keluarga, sama2 sayangkan negara. Rambut sama hitam, darah merah mengalir seluruh badan. Sama saja kita semua. Biar politikus yang pecah belahkan kita. But we will stand with each other.

(iv) Kembalikan konsep MUHIBAH dalam kehidupan kita. Ajar anak kita konsep perpaduan dan bersatu padu, tak kira bangsa dan agama. Hayati semangat Rukun Negara dan sebar luaskan semangatnya.

21. Malaysia bukan negara MONO RACE. Ia negara MULTI RACIAL/ pelbagai kaum yang satu ketika dulu digelar Tiger of Asia. Jadi rujukan orang di dunia. Truth is, we can unite in diversity. Itu sebenarnya kekuatan kita.

22. Jangan benarkan orang politik memecah belahkan kita. Malaysia ini kita yang punya. Bukan hanya mereka2!

Salam hormat,

Liyana Marzuki