Dari Rafizi Ramli
19 Julai 2022
SUBSIDI BERSASAR:
KAJI BALIK KLASIFIKASI B40 M40 T20
Ekoran kenaikan kos sara hidup dan beban inflasi yang semakin
tinggi, pentadbiran UBP (UMNO-BERSATU-PAS) dijangka akan mempercepatkan
penyelarasan subsidi untuk mengurangkan peruntukan subsidi kepada rakyat.
Kenyataan-kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul
Aziz kebelakangan ini konsisten menyatakan usaha ke arah pendekatan subsidi
bersasar (“targeted subsidy”) sedang giat diusahakan.
Sementara pendekatan subsidi bersasar secara konsepnya dilihat
lebih masuk akal sekiranya diuruskan dengan baik, ia juga mendatangkan risiko
keciciran (“exclusion risk”) dan ketirisan (“leakage risk”).
Risiko keciciran merujuk kepada kebarangkalian ada kumpulan yang
sepatutnya mendapat manfaat subsidi terkeluar dari kumpulan sasaran. Ini sering
berlaku setiap kali bantuan-bantuan tunai diumumkan apabila ramai yang status
sosial ekonominya rendah tidak mendapat bantuan berbanding penerima-penerima
yang datang dengan kereta besar untuk menerima bantuan.
Risiko ketirisan sedang menjadi perbincangan hangat kebelakangan
ini, terutamanya berhubung minyak masak bersubsidi yang diselewengkan kepada
golongan tertentu sehingga rakyat biasa sukar mencari bekalan minyak masak
bersubsidi.
Sebab itu selama ini saya sering mengingatkan kerajaan supaya
mengatasi masalah-masalah berkait risiko keciciran dan ketirisan sebelum
melaksanakan subsidi bersasar kerana sekarang pun, sudah ramai golongan yang
sepatutnya menerima bantuan putih mata akibat kelemahan-kelemahan pentadbiran.
Namun, kecenderungan kerajaan UBP jelas condong ke arah
melaksanakan subsidi bersasar secepat mungkin.
Oleh itu, adalah sangat penting untuk rakyat memainkan peranan
bersama-sama memberi pandangan untuk menentukan kayu ukur kelayakan (untuk
menerima subsidi) ditetapkan dengan seadil mungkin.
Kayu ukur yang dipakai sekarang ialah mengikut klasifikasi
pendapatan isi rumah, iaitu B40 (40% keluarga yang pendapatan isi rumahnya
terbawah), M40 (40% keluarga yang pendapatan isi rumahnya berada selepas B40),
dan T20 (20% keluarga yang pendapatan isi rumahnya teratas).
Kaedah ini diperkenalkan semasa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun
Razak menjadi Perdana Menteri. Ia telah menjadi kayu ukur kelayakan yang
digunakan dalam penggubalan dasar-dasar ekonomi dan kebajikan rakyat sejak
beliau menjadi Perdana Menteri.
Klasifikasi B40, M40 dan T20 ditetapkan melalui Kaji Selidik
Pendapatan Isi Rumah (“Household Income Survey”) yang dijalankan Jabatan
Statistik setiap 2-3 tahun. Data terkini klasifikasi B40, M40 dan T20 adalah
berdasarkan dapatan Kaji Selidik Pendapatan Isi Rumah 2019.
Berikut adalah dapatan-dapatan utama:
Had pendapatan:
- Pendapatan isi rumah berjumlah RM4,850 ke bawah
diklasifikasikan sebagai B40
- Pendapatan isi rumah antara RM4,851 ke RM10,959
diklasifikasikan sebagai M40
- Pendapatan isi rumah melebihi RM10,960 diklasifikasikan
sebagai T20
Jumlah individu yang berpendapatan (“penerima pendapatan”) bagi
setiap isi rumah
- Seorang penerima pendapatan: 46%
- Dua penerima pendapatan: 38%
- Tiga penerima pendapatan: 11%
- Empat (dan lebih) penerima pendapatan: 5%
Kenaikan pendapatan dari 2016 ke 2019
- B40: Pendapatan hanya naik 1.8% setiap tahun dari 2016 ke 2019
- M40: Pendapatan naik 4.1% setiap tahun dari 2016 ke 2019
- T20: Pendapatan naik 4.5% setiap tahun dari 2016 ke 2019
Agihan pendapatan
- B40: Hanya 16% dari keseluruhan pendapatan rakyat
- M40: 37.2% dari keseluruhan pendapatan rakyat
- T20: 46.8% dari keseluruhan pendapatan rakyat
Walaupun kaedah menentukan penerima subsidi dan bantuan
kebajikan berdasarkan klasifikasi B40, M40 dan T20 ini ringkas dan membolehkan
pelaksanaan dengan cepat, ia mempunyai beberapa kelemahan utama:
Pertama:
Ia berasaskan kepada pendapatan semata-mata dan tidak mengambil
kira faktor perbelanjaan sara hidup dalam menentukan kedudukan ekonomi sesebuah
isi rumah. Faktor perbelanjaan sara hidup melibatkan jumlah isi rumah.
Misalnya, sebuah isi rumah yang mempunyai dua penerima
pendapatan (suami dan isteri) yang dikategorikan sebagai B40 (setiap orang
berpendapatan RM2,000) dan mempunyai seorang anak, tinggal di kawasan separa
bandar, sudah tentu mempunyai pendapatan boleh belanja (“disposable income”)
yang lebih tinggi berbanding satu lagi isi rumah yang mempunyai seorang
penerima pendapatan (suami) yang dikategorikan sebagai M40 (pendapatan
RM4,860), mempunyai lima orang anak dan tinggal di kawasan bandar besar.
Kedua:
Had pendapatan yang ditentukan secara statistik semata-mata
iaitu mengikut bilangan isi rumah 40% terbawah, 40% pertengahan dan 20% teratas
tidak menterjemahkan situasi sebenar kesukaran ekonomi setiap keluarga.
Malah, ia memanjangkan lagi ketidakadilan agihan pendapatan yang
berlaku (akibat kegagalan kerajaan memastikan agihan gaji yang adil kepada
pekerja-pekerja bawahan) kepada sistem kebajikan negara.
Contohnya, hanya kerana had atas (“upper cut-off point”) B40
adalah RM4,850 sebulan, semua keluarga yang berpendapatan RM4,851 ke atas
dikategorikan sebagai tidak layak untuk menerima subsidi sedangkan kepayahan
yang dialami sama dengan keluarga berpendapatan RM4,850 sebulan.
Begitu juga dengan “cut off point” yang lain, iaitu had M40 pada
RM10,959. Bagi keluarga yang berpendapatan RM11,000 sebulan, tiba-tiba mereka
dikira sebagai orang kaya (yang datang dengan konotasi merekalah yang mengambil
subsidi dari orang yang layak menerima) sedangkan kedudukan ekonomi mereka sama
dengan mereka yang berpendapatan RM10,959 sebulan.
Oleh itu, saya menyarankan supaya Menteri Kewangan tampil lebih
awal untuk menerangkan apakah pendekatan yang sama (menggunakan B40, M40 dan
20) akan dipakai dalam menentukan kumpulan penerima sasaran apabila subsidi
bersasar dilaksanakan kelak.
Keputusan untuk menetapkan kriteria kelayakan penerimaan subsidi
(petrol bersubsidi, bantuan tunai, subsidi makanan dan lain-lain) adalah
keputusan nasional yang perlu dibahaskan dan dikupas supaya diterima rakyat
keseluruhan, bukannya keputusan beberapa pegawai di dalam bilik mesyuarat.
Saya berpandangan kita perlu memansuhkan pendekatan menggunakan
had pendapatan B40, M40 dan T20, sebaliknya memperkenalkan pendekatan
berasaskan pendapatan boleh belanja (“disposable income”) dengan mengambil kira
pendapatan, kos perbelanjaan dan jumlah tanggungan setiap isi rumah.
Saya akan menghuraikan cadangan ini dengan lebih terperinci
dalam kenyataan-kenyataan media yang akan datang.
RAFIZI RAMLI