KENAPA NAJIB TAK MAHU ULAS TAWARAN JHO LOW?

 

Di media sosial, sejak hilang kuasa, Najib Razak selalu menampilkan dirinya sebagai pemimpin serba tahu.

Hampir semua isu semasa diulas, dikomennya dan kerapkali jika isu itu berkaitan kerajaan, beliau akan memberi cadangan-cadangan tertentu yang memperlihatkan seolah-olah dirinya begitu pakar serta serba tahu.

Kadangnya juga terlihat seperti beliau menayangkan dirinya begitu cemerlang ketika memegang jawatan Perdana Menteri dan tidak pernah terbabit dengan apa-apa skandal sehingga menyebabkan BN tumbang pada 2018 lalu.

Selain menyentuh hampir semua isu, Najib juga amat aktif di media sosial di mana berpuluh tulisan dimuat-naik dalam sehari sehingga ada yang menggelarnya “Perdana Menteri FB”.

Di sisi lain, meskipun seperti serba tahu, semua orang juga tahu yang menulis bagi pihak beliau ialah sejumlah admin yang dibayar gaji olehnya.

Kalau berkaitan kucing, itu baru Najib sendiri yang memuat-naiknya.

Sebab itu, tidak menghairankan ketika di mahkamah, Najib sering menjawab tidak tahu ketika ditanya oleh pihak pendakwaraya.

Dalam keterangannya di mahkamah berkaitan kes SRC International, media melaporkan bahawa Najib telah menjawab tidak tahu sebanyak 46 kali.

Dengan jawapan tidak tahu sebanyak 46 kali itu, Najib boleh dianggap mencipta rekod kerana rasa-rasanya tidak pernah ada sesiapa dalam negara ini pernah berbuat demikian sekerap itu di dalam mahkamah.

Tetapi, meskipun aktif dan sering berlagak serba tahu, ada juga isu-isu tertentu yang tidak disentuhnya atau beliau buat-buat tidak tahu berkenaan dengannya.

Antaranya ialah terbaru ini tentang laporan yang menyebut Jho Low, watak utama dalam skandal 1MDB telah menawarkan penyelesaian untuk membersihkan dirinya dengan Kerajaan Malaysia.

The Edge melaporkan, Jho Low felah membuat tawaran sebanyak RM1.5 bilion bagi tujuan itu.

Begitu pun, selain bekas Peguam Negara, Apandi Ali yang telah mengesahkan dirinya adalah pengatur untuk menemukan wakil firma Kobre & Kim yang mewakili Jho Low dengan Peguam Negara, pegawai kanan SPRM dan lain-lain, Pejabat Peguam Negara atau AGC turut mengesahkan kemudiannya bahawa mereka menolak tawaran tersebut.

Kenapa Najib tidak mengulas isu ini?

Bukankah ini isu penting dan menjadi bualan rakyat?

Sepatutnya, sebagai “Perdana Menteri FB” yang serba tahu, beliau tidak harus menyisihkan dirinya daripada memberi komen atau membuat ulasan berkenaan tawaran Jho Low itu.

Kalau pun tidak mahu mengulas tentang bagaimana Apandi Ali yang pernah membebaskannya daripada skandal 1MDB boleh dilantik oleh firma yang mewakili Jho Low, Najib setidak-tidaknya masih boleh mengulas berkenaan penolakan AGC itu.

Misalnya, ulaslah sama ada wajarkah AGC menolak tawaran Jho Low itu atau sebaiknya tawaran tersebut diterima?

Juga komenlah sikit sama ada jumlah RM1.5 bilion yang ditawarkan Jho Low itu suatu jumlah yang berpatutan atau jumlahnya patut dinaikkan lagi?

Nampak macam tak lengkap profail sebagai “Perdana Menteri FB” yang serba tahu jika Najib tidak mengulas atau memberi komen berkaitan isu ini.

Belum terlambat dan masih sempat lagi untuk Najib berbuat demikian demi memenuhi keinginan pengikut-pengikutnya dan rakyat Malaysia yang ingin mengetahu ulasannya.

Jho Low pun barangkali tertunggu-tunggu sama ulasan Najib kali ini. – ShahbudinHusin 19/07/2022.