UMNO PRU15 TIADA BEZA DENGAN UMNO PRU14, DAH REBAH PUN TETAP TAK BERUBAH

 

Sewaktu kalah pada PRU14 lalu, UMNO ketika itu dipimpin oleh Najib Razak selaku Presiden dan Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Presiden.

Di waktu yang sama, Najib adalah Perdana Menteri, sementara Zahid Hamidi merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Berikutan kekalahan BN dalam PRU14 itu, Najib kemudian meletakkan jawatan dan Zahid Hamidi menjadi Pemangku Presiden UMNO sebelum disahkan sebagai Presiden dalam pemilihan parti pada 2018.

Selain kehilangan kuasa pada PRU 2018 itu adalah suatu tragedi buruk buat UMNO dan BN kerana ia pertama kali berlaku dalam sejarah parti itu, termenjadinya Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO juga adalah suatu malapetaka yang sama buruknya.

Ini kerana beliau adalah gandingan Najib yang menyebabkan BN kalah pada PRU14 dan sepatutnya beliau tidak lagi diberi sebarang ruang untuk menerajui dan memimpin UMNO, apa lagi memulihkannya.

Bukankah sebelum PRU14 dulu selalu kita dengar laungan agar UMNO segera berubah jika tak mahu rebah?

Masalahnya, sudahlah tidak berubah sebelum ditimpa kalah, setelah rebah pun tetap tidak juga berubah dengan masih mempercayai Zahid Hamidi yang merupakan pemimpin kedua berperanan besar terhadap kekalahan BN pada PRU14 untuk mengetuai UMNO lagi.

Kemudian daripada itu, atas kedudukan Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN, beliau juga melantik Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Pada waktu itu, bekas menteri, Nazri Aziz ada membuat dakwaan bahawa Najib sebenarnya meminta jawatan sebagai Pengerusi BN.

Meskipun hanya dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN, suatu jawatan baru yang tidak pernah wujud sebelum ini dan sengaja diwujudkan untuk memberi kedudukan kepada Najib, hakikatnya sekali lagi UMNO dan tidak pernah mahu berubah.

Kalau sebelum ini Zahid Hamidi yang ada peranan kedua besar dalam kekalahan BN pada PRU14 telah dijadikan Presiden UMNO, Najib yang kerana skandal 1MDB yang terkait dirinya serta isu-isu melibatkan karenah isterinya yang menyumbang faktor paling besar kepada kehilangan kuasa UMNO buat pertama kalinya, tanpa rasa malu diberi peranan kembali dalam parti sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Sekali lagi ini menunjukkan UMNO dan BN tidak pernah mahu berubah di mana setelah kalah pun masih mahu memberi jawatan kepada pemimpin yang menyebabkan kekalahan itu.

Dengan kedudukan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu, Najib sebenarnya lebih dilihat sebagai ketua di sebalik tabir bagi BN, manakala Zahid Hamidi yang lama sebelum itu pernah menjadi Setiausaha Politik Najib, tidak lebih hanya pemimpin bayangan semata-mata.

Najib seterusnya bukan saja menunjukkan keaktifannya dalam banyak PRK dan PRN, malah selepas kemenangan BN di PRN Johor, Zahid Hamidi juga sanggup menguis Perdana Menteri ke tepi untuk membawa Najib naik ke pentas untuk memberi ucapan meraikan kejayaan tersebut.

Kenapa Ismail Sabri Yaakob dihina dan dimalukan sebegitu rupa, sedangkan beliau adalah Perdana Menteri yang dipersetujui oleh UMNO sendiri untuk memegang jawatan itu?

Di Konvensyen BN baru-baru ini, Najib ternampak begitu dihormati sehingga diberi peluang menyampaikan ucapan atas jawatan selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BN yang tidak pernah wujud sebelum ini serta tidak jelas apa peranan sebenar beliau melalui jawatan tersebut.

Dalam perjalanan masa, meskipun setelah ada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, Zahid Hamidi dan Najib terus juga menunjukkan penguasaan dalam UMNO dan BN.

Demi kerana ingin mempertahankannya jawatannya, selain menangguhkan pemilihan UMNO selama 18 bulan, Zahid Hamidi melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Presiden UMNO sebelum ini iaitu meminda perlembagaan parti bagi menetapkan kewajipan pemilihan UMNO hanya boleh diadakan selepas enam bulan PRU diadakan.

Pindaan perlembagaan UMNO seharusnya dilakukan untuk kepentingan masa depan parti, bukan dilakukan di masa kecederaan ketika pemilihan UMNO sedang pun ditangguhkan selama 18 bulan yang mana dengan tidak membenarkan pemilihan UMNO diadakan melainkan setelah PRU dilangsungkan, budak tadika pun faham ia semata-mata menunjukkan Zahid Hamidi takut berdepan pemilihan parti sebelum PRU15, di sampig bertujuan agar beliau kekal berkuasa menentukan pemilihan calon dalam pilihan raya tersebut nanti.

Dalam keadaan normal sebagaimana amalan sebelum ini, apabila Perdana Menteri yang baru dilantik, Perhimpunan Agung UMNO selepas itu akan berperanan untuk mengesahkan kedudukan Perdana Menteri itu sebagai Presiden UMNO.

Dalam hal ini, apabila Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri, sebagai tanda UMNO meraikan perlantikannya, beliau seharusnya segera disahkan sebagai Presiden UMNO dengan cara tidak menangguh-nangguhkan pemilihan.

Pemilihan UMNO bukan saja wajar tidak ditangguhkan, malah lebih wajar Zahid Hamidi mengundurkan diri untuk memberi laluan kepada Ismail Sabri mengambil alih tempatnya sebaik saja beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Malangnya, Zahid Hamidi tidak setakat menangguhkan pemilihan, mula-mula selama 18 bulan, bahkan kemudian meminda perlembagaan yang bermakna pemilihan UMNO ditangguhkan lagi selama enam bulan.

Secara mudahnya ia difahami bahawa Zahid Hamidi enggan memberi laluan kepada Ismail Sabri menjadi Presiden UMNO.

Melalui apa yang dilakukan Zahid Hamidi itu dan dengan adanya Najib selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BN, kedudukan BN dalam berdepan PRU15 nanti adalah sama seperti kedudukan parti itu pada PRU14 lalu.

Kalau dalam PRU14 lalu, Najib adalah Presiden UMNO dan Pengerusi BN, manakala Zahid Hamidi merupakan Timbalan Presiden UMNO, sekaligus Timbalan Pengerusi BN, tetapi dalam PRU15 nanti, Zahid Hamidi adalah Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, sementara Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN yang bukan saja dilihat ketua di sebalik tabir bagi BN, malah melindungi peranan Mohamad Hasan yang memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN.

Najib dan Zahid Hamidi sekadar bertukar posisi saja.

Jadi, apa bezanya BN pada PRU15 nanti dengan BN ketika kalah pada PRU14 dulu?

Lebih buruk, jika pada PRU14 lalu, Najib dan Zahid Hamidi belum dibebankan dengan apa-apa kes pendakwaan di mahkamah, kali ini kedua-duanya sedang berdepan puluhan kes serta sudah disabitkan melakukan kesalahan.

Apakah rakyat dan pengundi yang waras masih mahu mengundi BN dalam PRU15 akan datang yang dengan jelas disedari masih dipimpin oleh pemimpin yang bukan saja tidak kelihatan bersih, bahkan melalui keterangan saksi-saksi di mahkamah serta hukuman yang telah dijatuhkan, mungkin sekali bakal disahkan sebagai tidak bersih dalam keputusan perbicaraan seterusnya?

Dulu konon perlu berubah jika tak mahu rebah, namun dengan langsung tidak berubah, meskipun sudah rebah dan UMNO serta BN yang disediakan untuk berdepan PRU15 adalah sama seperti UMNO dan BN pada PRU14 dulu, pilihan bagi rakyat dan pengundi juga hanya tinggal satu – tumbangkan mereka sekali lagi, kecuali jika Zahid Hamidi dan Najib sanggup tidak campurtangan dan tidak bertanding lagi. – ShahbudinHusin 03/06/2022.