Saranan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad agar rakyat menanam sayur dan menternak haiwan bagi kegunaan sendiri susulan kekurangan bekalan makanan dianggap cadangan separuh masak.
Ketua Penerangan KEADILAN Perak, Mohamad Arafat membidas saranan yang tidak disertakan dengan pelan tindakan itu kerana sehingga hari ini, katanya, tidak jelas apakah inisiatif yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat untuk memelihara ternakan atau menanam sayur sayuran.
“Sebagai kerajaan janganlah sekadar melontarkan pandangan atau cadangan sahaja. Tanggungjawab kerajaan ialah melaksanakan cadangan itu di peringkat bawahan.
“Kerajaan sendiri perlu melalui MPKK atau jawatankuasa penduduk perlu buat kajian rumah mana sesuai dilakukan (tanam sayur), ada tanah (untuk penternakan) dan perlu beri imput itu kepada agensi berkaitan, berbincang dengan pemilik rumah tersebut atau sebagainya.
“Kalau mereka setuju maka berikan latihan. Jika mereka minat bela kambing atau lembu, beberapa ekor (baka perlu diberi). Kerajaan kena beri (baka) kepada mereka. Bukan hanya lontarkan pandangan dan duduk diam, sampai bila tak selesai benda ini,” katanya.
Menurut ADUN Hulu Kinta itu lagi, tidak salah MB Saarani menyeru rakyat berusaha memenuhi keperluan harian sebagaimana dilaksanakan di beberapa negara Asia lain.
Namun katanya di negara lain, rakyat diberi benih tanaman atau baka haiwan, bukan setakat kenyataan di media sahaja.
“Perkara ini (tanam dan ternak) memang ada kerajaan negara Asia lain yang implement, caranya diumumkan sesiapa berminat, ada tanah, datang jumpa. Kerajaan beri modal, latihan dan hasilnya pula ada pusat pengumpulan. Itu cara yang betul.
“Sekarang ini rakyat (Perak) tertanya tanya tak kan mereka nak keluarkan modal sendiri untuk beli lembu, ayam semua. Mereka pula tak ada kemahiran menternak.
“Kalau nak buat maka buat betul betul, berbentuk inisiatif, umumkan siapa berminat boleh melalui Jawatankuasa Kemajuan Kampung
“Itu perkara yang perlu dilakukan jika mahu kurangkan kebergantungan kepada bekalan makanan import,” katanya lagi.
Hujung bulan lalu, MB Perak menyarankan rakyat mengurangkan bebanan kos sara hidup akibat kenaikan beberapa produk pertanian dan penternakan dengan memelihara lembu, kerbau, kambing dan menanam sayur di sekitar rumah
Dengan cara itu, kata beliau, rakyat tidak akan terlalu bergantung dengan bahan makanan yang diimport.