Firdaus Azil
Jun 28, 2022
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (kanan) boleh disiasat oleh Lembaga Displin UMNO berhubung kenyataannya yang dilihat mengkritik parti, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman boleh disiasat oleh Lembaga Displin UMNO berhubung kenyataannya yang dilihat mengkritik parti, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, keadaan itu bergantung jika ada ahli parti yang membuat laporan kepada Lembaga Disiplin terhadap Tajuddin.
Jika siasatan selesai dilakukan, Ahmad Zahid berkata, terpulang kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk memutuskan jenis tindakan terhadap Tajuddin.
"Saya juga menghormati pelbagai parti, di mana di sana terdapat Lembaga Disiplin. Jika Lembaga Disiplin dapat laporan atau permintaan atau sebarang siasatan untuk sesuatu tindakan dilakukan, maka apa juga saranan oleh Lembaga Disiplin itu akan dipertimbang dan akan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi,” katanya lagi.
Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menghadiri prosiding berhubung perbicaraannya tentang Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini hari ini.
Terdahulu bekas Timbalan Perdana Menteri itu ditanya mengenai kenyataan Tajuddin yang menggesa terdapat usaha mengumpulkan akuan bersumpah (SD) bagi memberi sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu.
Selain itu Tajuddin juga menggesa agar Ahmad Zahid berundur dan memberi peluang kepada individu lain untuk memimpin UMNO.
Tajuddin, yang juga bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia membuat dakwaan tersebut dalam satu sidang media semalam yang dilihat pemerhati politik melihat sebagai tindak balas terhadap keputusan Ahmad Zahid menggugurkan beliau sebagai Ahli MKT pada minggu lepas.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Tajuddin dahulu hanya dilantik ke dalam MKT UMNO berdasarkan budi bicaranya selaku Presiden dan mengikut klausa Perlembagaan parti.
Katanya lagi, terpulang kepada ahli parti untuk menilai sejauh mana kebenaran dakwaan tajuddin.g
"Bagi saya apa saja yang dinyatakan oleh beliau sama ada tidak benar ataupun terdapat sedikit kebenaran, saya serahkan kepada ahli UMNO terutama di akar umbi untuk membuat penilaian yang sewajarnya terhadap kedudukan seseorang itu sebagai anggota MKT,” tegas Ahmad Zahid lagi.