Kenyataan Menteri Pertahanan isu veteran tentera mengecewakan
Kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein baru baru ini berkenaan isu pencen dan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat mengecewakan
Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, nasib golongan veteran ATM yang sejak sekian lama terabai mendorong mereka menganjurkan tunjuk perasaan di Tugu Negara, Kuala Lumpur baru baru ini.
Katanya, demonstrasi seumpama itu tidak akan berlaku seandainya kerajaan Malaysia mengambil berat rintihan golongan veteran.
“Ia amat menyedihkan melihat para veteran tiada pilihan melainkan berdemonstrasi kerana mereka dinafikan kehidupan bermaruah selepas pengorbanan sekian lama.
“Hishamuddin berkata isu ini tidak boleh diselesaikan oleh Kementerian Pertahanan secara sendirian, kerana ia ada kaitan dengan kemampuan kewangan negara.
“Jelas ia adalah jawapan untuk lari daripada persoalan ini. Benar, kebajikan veteran, termasuk isu pencen, merentas tanggungjawab pelbagai Kementerian lain.
“Namun, siapa lagi kalau bukan Kementerian Pertahanan harus menjuarai soal kebajikan veteran?
“Tidak seperti sesetengah negara lain seperti Australia, Kanada, China dan Amerika Syarikat, Malaysia tidak mempunyai Kementerian Hal Ehwal Veteran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nik Nazmi lagi, Hishamuddin seharusnya memberi respons yang lebih berhemah seperti memanggil golongan veteran dan mengambil tahu keperluan mereka
Juga, katanya, Menteri Pertahanan itu perlu memulakan usaha bersama kementerian lain bagi merealisasikan sebahagian tuntutan veteran setakat yang termampu dilakukan Kerajaan.
“Para veteran yang turun ke Tugu Negara tidak meminta Hishammuddin mengibaskan tongkat sakti untuk menyelesaikan masalah mereka, sebaliknya, menunjukkan rasa prihatin dan lebih penting inisiatif dan kepimpinan.
“Sekurang-kurangnya Hishammuddin perlu berbincang, menggalakkan dan mendesak rakan-rakan dalam Jemaah Menteri untuk memberi tumpuan merumus dan kemudian melaksanakan penyelesaian kepada cabaran getir yang dihadapi veteran Malaysia.
“Jika bukan Menteri Pertahanan yang sanggup mengetuai usaha mendesak bagi membantu bekas-bekas perajurit kita, siapa lagi?” katanya.
Calon Naib Presiden KEADILAN itu mengingatkan Hishamuddin bahawa beliau merupakan antara Menteri Pertahanan yang lama memegang jawatan dan dengan mudah boleh memulakan sebarang usaha memperbaiki kehidupan golongan veteran sekiranya ada keazaman berbuat demikian
“Beliau telah menjadi Menteri yang telah memegang portfolio ini dari 2013 – 2018 dan sekali lagi dilantik pada tahun 2021.
“Beliau telah menjadi Menteri penuh sejak 1999 (kecuali tempoh pendek 2018-2020), maka sepatutnya masak dan mengerti dengan proses kerajaan,” katanya.
Nik Nazmi juga membariskan kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak lama selepas menjadi PM yang berjanji akan mengkaji cadangan bagi memastikan semua veteran mendapat pencen.
Begitu juga Hishammuddin menjanjikan “berita baik” tentang pengampunan kesalahan tentera dan penambahbaikan pencen kepada balu tentera pada Mei 2021.
“Apa terjadi kepada kajian dan berita baik yang diuar-uarkan ini?
“Hari, minggu dan bulan berlalu dan penderitaan veteran kita berterusan.
“Di mana rasa mustahaknya? Di mana kepimpinannya? Tidak hairanlah veteran kita berasa terabai dan tidak berpuas hati,” kata Nik Nazmi lagi.