Sepanduk ‘Peja jangan hisap gam’ tular di media sosial, ini reaksi Peja
Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu mengucapkan terima kasih kepada sepanduk yang menyindirnya, semasa perlawanan bola antara Malaysia dan Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Tulisan yang tertera di sepanduk, yang berada di bahagian penonton skuad Harimau Malaya itu menyatakan, “Peja jangan hisap gam.”
Menerusi Twitternya, Ahmad Faizal memuat naik gambar suasana di stadium itu yang tertera sepanduk berwarna kuning berkenaan, dengan kapsyen:
“Nasihat yang amat baik kepada saya dan kepada semua! Terima kasih! Semoga Allah berkati segala kebaikan kita,” lapor Malaysiakini.
Ciapannya itu hadir selepas dia mencetuskan kontroversi yang menyalahkan penonton dengan mengatakan sorakan ‘pemain ke-12’ skuad Harimau Malaya menjadi punca kekalahan Malaysia di tangan Bahrain pada aksi Kelayakan Piala Asia 2023, Sabtu lepas.
Dia bagaimanapun memohon maaf setelah menerima kecaman pelbagai pihak terutamanya di media sosial.
Pada, 13 Jun, kenyataan Faizal tular di media sosial selepas dia membela penjaga gol Farizal Marlias susulan kesilapan yang menyebabkan skuad kebangsaan tewas 1-2 kepada Bahrain.
atanya, faktor luaran termasuk membabitkan lebih 63,000 penonton di stadium ketika perlawanan itu berlangsung juga harus diambil kira.
Katanya, sorakan mereka secara tiba-tiba dilihat menyebabkan pemain skuad negara hilang fokus sewaktu perlawanan.
Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini, dia mengakui sokongan padu penyokong menyuntik semangat Harimau Malaya untuk meraih kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023, malam tadi.
“Terima kasih pemain ke-12! Kehadiran para penyokong memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya di Stadium Bukit Jalil pada malam ini, cukup jelas memberi impak dalam menyuntik semangat kepada pemain-pemain negara.
“Sorakan tanpa henti Ultras Malaya memeriahkan suasana stadium dan telah berjaya meniup semangat para pemain untuk beraksi dengan cemerlang! Teruskan sokongan padu anda!,” katanya.
Pada perlawanan terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia malam tadi, Malaysia mencatat kemenangan selesa untuk mengumpul enam mata bagi tempat kedua di belakang Bahrain seterusnya menempah tiket ke kejohanan itu selaku lima pasukan naib juara terbaik.
Kali terakhir Malaysia layak secara merit ke Piala Asia pada 1980 dan skuad Harimau Malaya pernah beraksi di pusingan akhir Piala Asia pada 2007, namun ketika itu mendapat tiket selaku tuan rumah.