Rangkul kekuatan seluruh pimpinan: Yang menang, kalah digembleng bersama - Mustaffa

 


Keputusan tidak rasmi Pemilihan KEADILAN 2022 telah pun diumumkan. Diharapkan seusai pemilihan KEADILAN akan bertaut semula untuk perjuangan yang lebih besar menggempur BN - PN dalam Pilihan Raya Umum ke 15.


Namun dalam perjalanan untuk menguasai Kerajaan Persekutuan itu, KEADILAN seharusnya tidak membawa budaya pasca pemilihan 2018 apabila yang menang mendapat semua dan yang kalah dibiar teraba raba.


Bagi calon Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub, masanya KEADILAN merobah tantanan kepimpinan parti dengan menggembleng semua bakat yang ada tidak kira menang atau tewas untuk diberi peranan memperkasakan parti bagi sesi 2022 - 2025.


"Tahniah kepada semua yang berjaya dan memikul amanah di peringkat Cabang dan Pusat.


"Kepada yang tidak menang juga punya kekuatan dan tahniah kerana partisipasi dalam proses demokrasi ini.


"Dalam masa yang sama, dalam merangkul kekuatan menghadapi PRU15, semua kekuatan yang menang dan yang tewas mestilah digembleng bersama sama ada dalam struktur parti di Cabang maupun peringkat Pusat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) pula, beliau mengharapkan beberapa kaedah berkempen dinilai semula terutama kepada calon yang tidak menggunakan sistem cai.


"Ada ruang yang perlu diperkemaskan dalam pemilihan dan proses pembaikan perlu secara terus menerus dilakukan.


"Keseluruhannya tahniah JPP dan seluruh yang menjayakan proses demokrasi KEADILAN," katanya.


Mustaffa juga mengucapkan penghargaan kepada para penyokong yang setia bersama beliau dalam kempen pemilihan.


"Secara khusus jutaan terima kasih bagi yang sama-sama membantu kempen VP#10 MKA," katanya lagi.