HARAP2 APA YANG BERLAKU DI FILIPINA TIDAK BERLAKU DI MALAYSIA

 


Pada 9 Mei 2022 yang lalu, berlangsunglah Pilihanraya Presiden Filipina. Keputusannya anak bekas diktator Marcos, iaitu Ferdinand Marcos Jr atau lebih dikenali sebagai “Bongbong” beroleh kemenangan besar.

Lebih 30 juta undi memilihnya sebagai Presiden mengalahkan lawannya Leni Robredo, bekas Timbalan Presiden kepada Presiden yang lalu Rodrigo Duterte.

Leni Robredo adalah seorang peguam hak asasi manusia yang pernah mengalahkan Bongbong dalam pilihanraya Timbalan Presiden enam tahun yang lalu pada 2016.

Akhbar berbahasa Melayu yang terkenal di Malaysia bernama Sinar Harian pada 11 Mei 2022 melaporkan di muka depan dengan gambar-gambar foto diktator Marcos, isterinya Imelda dan Bongbong berserta tulisan besar berbunyi, “Rakyat Tumbangkan Marcos, Rakyat Juga Naikkan Marcos”.

Aku berasa sedih atas kemenangan anak diktator Marcos itu. Tetapi seperti calon Presiden yang kalah Leni Robredo, aku juga menerima hakikat bahawa rakyat Filipina telah membuat keputusan.

Aku perlu menghormatinya.Suka atau tidak, ia bukan pilihanku. Ini adalah konsekuen demokrasi melalui peti undi, bukan kuasa melalui laras senapang atau jerit pekik “peoples’ power” di atas jalanraya.

Tetapi kenapa, jika boleh, aku ingin orang lain yang menang dalam pilihanraya Presiden Filipina. Bukannya Bongbong Marcos. Sedangkan aku rakyat Malaysia, bukannya diaspora Filipino.

Berikut adalah jawapannya tentang soal tersebut dari catatan peribadi tentang apa yang aku lalui 36 tahun yang lalu, pada tahun 1986.

PERGI KE DAVAO, MINDANAO, FILIPINA

Pada tahun 1986, ketika itu aku memegang jawatan Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang beribu pejabat di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.

Aku mendapat undangan untuk hadir ke satu persidangan antarabangsa di Mindanao, Filipina. Persidangan itu merupakan satu persidangan solidariti dengan rakyat Mindanao dalam perjuangan mereka menentang diktator Presiden Ferdinand Marcos. Persidangan tersebut berlangsung di Bandaraya Davao.

Aku seorang diri berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang. Penerbangan itu mengambil masa lebih empat jam untuk sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Manila. Dari Manila, aku menaiki kapal terbang lagi untuk ke Bandaraya Davao.

Kerana kesilapan komunikasi, aku tidak dapat bertemu dengan rakan Filipina yang sepatutnya menunggu aku di Lapangan Terbang Manila dan juga Davao. Selepas puas menunggu, tetapi tiada orang yang datang menjemput aku, lalu aku naik sebuah “kereta teksi sapu”.

Aku tunjukkan alamat tempat persidangan antarabangsa tersebut. Bukan di tengah bandara Davao, tetapi nampaknya jauh di kawasan pendalaman. Kereta teksi sapu yang dipandu oleh seorang lelaki Filipina yang baik hati, mengaku akhirnya kepadaku bahawa kami telah sesat.

Hari sudah melewati senja, dan gelap malam di mana-mana. Kereta teksi sapu itu memasuki jalan yang tidak sepatutnya, iaitu jalan tanah merah bukannya jalan bertar. Pada satu persimpangan, kereta yang aku naiki itu ditahan oleh sepasukan orang yang bersenjata.

Mereka berpakaian seperti tentera. Tetapi hatiku rasa tidak senang. Pemandu teksi sapu itu menyatakan pasukan yang membuat sekatan jalanraya itu ialah Tentera Parti Komunis Filipina.

Aku lihat pemandu teksi sapu yang aku naiki itu bercakap-cakap dengan Tentera Parti Komunis itu. Aku berfikir di dalam hati ketika itu bahawa aku telah dikhianati oleh pemandu teksi tersebut.

Aku mulai berasa bimbang dan cemas tentang keselamatan diri sendiri. Pada saat itu aku teringat anak-anak yang masih kecil dan isteri di Johor, Malaysia.

Kemudian kereta kami melepasi sekatan jalanraya itu. Pemandu teksi itu memberitahuku bahawa dia tadi bertanyakan Tentera Komunis itu tentang lokasi persidangan antarabangsa yang kami sedang cari.

Aku berasa lega dengan penjelasan tersebut. Pemandu itu bercakap benar. Lebih kurang setengaj jam kemudian aku sampai di tempat persidangan tersebut.

Kemuncak acara persidangan solidariti dengan Rakyat Mindanao itu ialah penyertaan kami para peserta dari pelbagai negara Asia di dalam satu tunjuk perasaan jalanan dan perhimpunan raksaksa menentang diktator Marcos di Bandaraya Davao.

Ketika berada di tengah-tengah tunjuk perasaan yang melalui jalan besar Bandaraya Davao itu aku menyaksikan anggota polis dan tentera Filipina yang lengkap dengan senapang rifle M16 berdiri siap siaga di setiap persimpangan jalan mengawasi kami para peserta antarabangsa.

Ketika itu, aku terfikir, aku mungkin telah melakukan sesuatu yang “gila” menyertai demonstrasi jalanan atas nama solidariti “internasional”dengan rakyat Mindanao dan Filipina menentang diktator mereka, Ferdinand Marcos.

Mujurlah tidak berlaku apa-apa yang buruk dalam demonstrasi tersebut.

Tamat persidangan di Davao itu, aku kembali ke Bandaraya Manila. Di kota besar yang melahirkan pemimpin pejuang Filipina seperti Rizal, aku sempat bertemu dengan tokoh-tokoh progresif di kalangan parti-parti politik kiri Filipina, pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja, pejuang-pejuang pergerakan wanita, organisai pelajar dan juga kelompok intelektual.

Dari sesi perbincangan dan pertukaran idea bersama pemimpin-pemimpin massa rakyat itu, akan mendapat kesan bahawa diktator Marcos tidak akan dapat menahan kebangkitan gerakan rakyat Filipina yang dipanggil “Peoples’ Power”.

Andaian aku itu betul. Sekembalinya aku pulang ke Malaysia, tidak lama kemudian berlakulah gelombang kebangkitan rakyat yang dipimpin oleh seorang wanita bernama Qurazon Aquino, isteri kepada tokoh pembangkang yang dibunuh Ninoy Aquino.

Dalam revolusi rakyat Filipina itu, Marcos berjaya digulingkan dan terpaksa lari meninggalkan Istana Malacanang terbang ke Hawai dan meninggal dunia di sana tiga tahun kemudiannya.

Kini, selepas lebih tiga dekad, anaknya Bongbong Marcos bangkit, memenangi pilihanraya Presiden Filipina dan akan kembali semula ke Istana Malacanang.

Aku mengurut dada.

Harap-harap fenomena Asia seperti ini tidak berlaku pula di Malaysia.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Johor

16 Mei 2022 (Isnin)