6 April 2022
AUTA NAJIB:
PH ‘BAILOUT’ 2019
SALAH, DIA ‘BAILOUT’ OK
Selepas saya
membantah gesaan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mahukan Kerajaan Persekutuan
menggunakan wang rakyat (melalui institusi milik rakyat seperti PETRONAS,
Khazanah atau Permodalan Nasional Berhad) untuk menyelamatkan Sapura Energy
Berhad (“Sapura”), jawapan yang biasa dimainkan Najib ialah dengan menuding
jari terhadap pentadbiran Pakatan Harapan di bawah Tun Mahathir Mohamad.
Semua “Bailout” Salah
Di awal pentadbiran
PH dalam tahun 2018, Permodalan Nasional Berhad telah bersetuju menyuntik
sejumlah RM4 bilion untuk memperbaiki aliran tunai Sapura dengan melanggan
terbitan saham baru syarikat itu. Langganan ini berbentuk RM3 bilion saham
biasa (“ordinary shares”) dan RM1 bilion saham saham terpilih (“preference
shares”). Urusniaga ini disempurnakan dalam tahun 2019 lalu menjadikan PNB
pemegang saham terbesar Sapura dengan 40% milikan saham biasa.
Pandangan saya ialah
semua bentuk “bailout” yang melibatkan suntikan dana awam untuk menyelamatkan
syarikat korporat adalah buruk dan wajar ditolak. Prinsip ini terpakai kepada
semua syarikat korporat, tidak kiralah syarikat korporat itu milik kerajaan
(“state-owned enterprise” atau SOEs), syarikat berkaitan kerajaan (“GLC”),
syarikat awam yang sahamnya dimiliki dana awam (“public listed companies with
substantial public fund’s ownership”), apatah lagi syarikat korporat biasa.
Pendekatan “bailout”
adalah buruk atas sebab-sebab berikut:
§ Ia menggalakkan
usahawan korporat untuk mencari jalan singkat mengaut keuntungan dengan
mendadak tanpa mengambil kira langkah membina syarikat yang berdaya saing dan
kental menghadapi cabaran naik turun perniagaan.
§ Ia sama dengan
menswastakan keuntungan dan memiliknegarakan kerugian. Semasa perniagaan
untung, keuntungan diambil oleh pemilik tetapi apabila perniagaan rugi,
kerugian dialihkan kepada orang ramai.
§ Dana awam digunakan
secara terpilih yang hanya menguntungkan segelintir golongan masyarakat sahaja
sedangkan jumlah besar itu boleh dimanfaatkan kepada golongan yang lebih besar.
§ Syarikat yang
diambil alih selepas “bailout” selalunya mewarisi pelbagai masalah kewangan
kronik (akibat dari keborosan pengurusan sebelumnya) yang tidak dapat
diselamatkan walaupun ada suntikan dana awam. Masalah selalunya berulang yang
memerlukan lebih banyak dana awam disuntik selepas itu.
Saya tidak ada
pengaruh, jawatan atau kedudukan di dalam Kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.
Saya juga lantang mengkritik beberapa keputusan Tun Mahathir Mohamad sebagai
Perdana Menteri ketika itu dan langkah menyuntik dana PNB untuk menyelamatkan
Sapura ketika itu adalah satu lagi keputusan pentadbiran Tun Mahathir Mohamad
yang saya tidak bersetuju.
Tetapi saya konsisten
dengan pendirian ini tidak kira pihak mana yang mengutarakannya, bukannya
seperti Najib yang autanya mengikut rasa pengendali laman sosialnya (“Admin
FB”). Sedang dia mengkritik tindakan PH “bailout” Sapura dalam tahun 2018, kini
dia pula perasan cerdik dan berlakon prihatin apabila menggesa perkara yang
sama dalam tahun 2022.
Ia seperti
perumpamaan “orang lain mencuri tidak boleh, dia mencuri boleh pula”.
Akta Kawal Selia
“Bailout”
Saya memberi tumpuan
kepada isu Sapura dan gesaan Najib supaya ada suntikan dana awam kerana saya
percaya rakyat Malaysia perlu menghentikan amalan “bailout” ini yang telah
berlaku sekian lama dalam negara kita.
Jika perniagaan yang
dimiliki rakyat biasa menghadapi kesukaran, tidak ada sebarang bentuk
kelonggaran atau bantuan yang akan diberikan. Malah, usahawan biasa terpaksa
mengambil wang sendiri membayar cukai atau denda yang dikenakan.
Jika perniagaan itu
milik individu bernama besar yang rapat dengan golongan bangsawan masyarakat
(selalunya pemimpin politik besar), perniagaan itu boleh mendapat bantuan pihak
berkuasa, sama ada dalam bentuk geran, suntikan dana, pinjaman mudah atau
kelonggaran. Kroni-kroni ini tidak pula perlu menjual harta peribadi mereka
untuk disuntik ke dalam perniagaan yang bermasalah.
Perkara ini berlaku
dalam setiap dekad di bawah semua Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang
pernah ada. Ia perlu dihentikan segera.
Saya mencadangkan
Ahli-ahli Parlimen KEADILAN untuk mula menggubal satu rang undang-undang yang
mengawal selia sebarang suntikan dana awam berbentuk “bailout” untuk
dibentangkan di Parlimen (secara rang undang-undang persendirian).
Fasal utama di dalam
rang undang-undang tersebut bolehlah menyentuh perkara-perkara berikut:
§ Sebarang bentuk
“bailout” perlulah dibuat menggunakan akta yang diluluskan di Parlimen.
Contohnya, jika “bailout” itu melibatkan Syarikat Najib, maka satu akta bernama
“Akta Pendanaan Awam Ambil Alih Syarikat Najib” perlu dibentangkan dan
diluluskan.
§ Akta itu perlu
menetapkan syarat-syarat yang jelas mengenai peranan, hukuman dan imbuhan
kepada pemilik asal dan eksekutif kanan syarikat. Contohnya, akta boleh
menetapkan bahawa eksekutif kanan syarikat tidak boleh mendapat kenaikan gaji
atau bonus dalam tempoh tiga tahun, atau pemilik asal tidak layak mendapat
dividen untuk tempoh tertentu.
§ Sebarang “bailout”
(jika terdesak dan tiada pilihan lain) seboleh-bolehnya melibatkan industri
(yang perlu diselamatkan atau dipertahankan) bukannya syarikat tertentu.
Penggubalan akta
seperti ini adalah perlu untuk mengekang amalan kroni kapitalisme (“crony
capitalism”) yang telah lama berakar tunjang di negara ini sehinggakan setiap
generasi terpaksa berdepan dengan siri “bailouts” tersendiri yang hutang dan
kerugiannya ditanggung rakyat untuk beberapa generasi akan datang.
RAFIZI RAMLI