Isu jual tanah lapangan terbang: SPRM sahkan terima laporan rasmi dari Asmuni

 


Isu jual tanah lapangan terbang: SPRM sahkan terima laporan rasmi dari Asmuni

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung penjualan tanah untuk pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, Perak Tengah.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan selepas menerima aduan rasmi yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi, semalam.

“Siasatan dibuat bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang kesalahan mengikut Akta SPRM 2009. Individu-individu yang terbabit akan dipanggil untuk membantu SPRM dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Bagaimanapun, Mohd. Fauzi enggan mendedahkan identiti  individu-individu yang bakal dipanggil untuk membantu siasatan berhubung perkata tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Perak Tengah, Mohd. Syukri Azari berkata, setakat ini kerja-kerja secara fizikal di atas tanah seluas 188.13 hektar tersebut masih belum dimulakan.

Menurutnya, pihak berkenaan juga masih belum menghantar pelan kerja tanah serta pelan jalan dan perparitan untuk mendapatkan kelulusan sebelum kerja tapak dimulakan.

“Mereka perlu mendapat kelulusan pelan itu yang dikeluarkan oleh pihak kami, namun setakat ini pihak berkenaan masih belum menghantarnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang berkenaan sudah dijual kepada sebuah syarikat swasta.

Rentetan daripada itu, empat bekas Exco kerajaan Perak sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tampil meminta SPRM membuat siasatan berhubung isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar, semalam.