Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong titah Sultan Perak,
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menegaskan bahawa anak muda perlu dibimbing
dengan program literasi politik agar mereka mampu memahami erti dan amalan
demokrasi yang sihat.
Menurut Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, cadangan Sultan
Nazrin itu amat dialu alukan. Katanya amat penting literasi tersebut untuk
membina, memahami sistem kerajaan, sistem pentadbiran, proses pembentukan
kerajaan dan elemen-elemen yang wajib dimiliki oleh pemimpin negara.
"ABIM komited membimbing generasi muda membina watak generasi
masa hadapan dengan teras jati diri bersama nilai-nilai moral yang tinggi.
"Dalam proses ini ABIM menekankan kesetiaan kepada nilai dan
maruah yang akan memimpin kita membina satu kefahaman dan identiti warga yang
menolak amalan rasuah serta gejala perkauman sempit. Nilai ini adalah akar
kepada keperibadian bangsa Malaysia yang bermaruah dan berintegriti.
"Dalam masa yang sama juga ABIM akan terus melakukan libat
urus bersama pemegang-pemegang taruh lain dalam kalangan ahli politik muda dan
warga belia, untuk membawa wacana politik segar yang menolak rasuah serta
berorientasi khidmat kepada rakyat," katanya.
Selain itu, Faisal juga mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) diberi tugas bagi melakukan pendidikan demokrasi kepada rakyat Malaysia.
"Dalam perkembangan berkaitan, untuk meratakan pendidikan
demokrasi dalam kalangan generasi muda, ABIM mengusulkan SPR melalui Akademi
SPR untuk bersama badan NGO anak muda bagi menggerakkan inisiatif ini," katanya
lagi.