Pemilihan KEADILAN yang walaupun terdapat pilihan untuk
menangguhkannya sehingga tahun hadapan amat diperlukan untuk mengisi kekosongan
posisi penting parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).
Menurut Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jabatan
tertentu parti yang terlalu lama dibiarkan kosong dan dipangku fungsinya oleh
beberapa pimpinan hanya akan menjejaskan prestasi parti sekiranya tidak
ditangani segera
"Apa yang diperlukan adalah pengisian jabatan penting yang
sudah kosong agak lama. Ada yang meninggalkan parti, bercuti, tetapi lompongan
itu terlalu ramai dan terlalu lama.
"Tidak sepatutnya dibebankan kepada presiden dan tokoh
tertentu yang sepatutnya dilakukan oleh pimpinan (parti yang lain),"
katanya dalam satu siaran media, semalam.
Sebaliknya alasan bahawa waktu pemilihan terlalu dekat dengan PRU,
menurut Anwar tidak boleh dijadikan sebab kerana jika berlaku pilihan raya,
pemilihan parti boleh ditangguhkan buat sementara waktu.
"Pertamanya kita belum tahu bila pilihan raya. Kedua, sebagai
parti demokratik janganlah yang menang itu mengambil alih kuasa dan
memanjangkan sesuka hatinya. Jangan ambil contoh parti lain (Umno) yang
memanjangkan (pemilihan) jauh lebih daripada mandat mereka.
"Bagi saya kalau kita harus kekal sebagai parti demokratik
yang menghormati mandat ahli maka kita telah melangkau hampir setahun selepas
waktu ditetapkan. Apa masalahnya, kalau Perdana Menteri umum PRU, kita taguhkan,
kalau tidak kita teruskan.
"Maka lebih selamat kita tunduk kepada hasrat Perlembagaan
dan semangat demokrasi," katanya.
Anwar juga menasihatkan pimpinan yang bertanding kali ini agar
tidak terbawa bawa semangat ekstrem merebut kemenangan sebagaimana ditunjukkan
dalam pemilihan 2018, sehingga menyebabkan parti berpecah kemudiannya.
"Kita boleh elak bibit perpecahan kalau calon tidak melanggar
tatasulisa dan akhlak. Merebut jawatan berhempas pulas, tidak mengindahkan
semangat jemaah, menyerang peribadi secara kasar.
"Belajarlah dari pengalaman lalu, persaingan itu dari
sahabat, menerima dengan waras kemenangan. Yang lain menerima kekalahan dalam
perjuangan
"Tidak bersikap yang menang mematahkan yang kalah, atau yang
kalah, tidak merasakan inilah penamat perjuangan mereka dan berundur atau
sabotaj atau menghilangkan diri," katanya.
Anwar juga menasihatkan agar anggota parti tidak memainkan isu
pemimpin tertentu bercuti, tidak aktif dan sebagainya pada kali ini.
Beliau menyentuh langsung calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli
yang kembali aktif, juga Nurul Izzah dan beberapa pimpinan lain yang masih
dilebel secara yang tidak sepantasnya.
"Ada yang masih dikecam seolah olah tidak setia, kartel dan
sebagainya. Saya mengingatkan ini juga tidak sihat.
"Biar kita ada upaya dalam kalangan pimpinan, jangan
menidakkan sumbangan lain. Sebenarnya terlalu ramai mempunyai sumbangan sangat
besar," katanya lagi.
Anwar mengharapkan episod luka pemilihan yang lalu tidak berulang
sehingga parti terpaksa kehilangan 11,000 anggota sama ada meninggalkan parti
atau dipecat kerana masalah disiplin.