Kekalahan pihak Kerajaan dalam sesi pengundian usul bertujuan
melanjutkan kuatkuasa Seksyen 4 (5) Akta Sosma untuk selama 5 tahun lagi
semalam terjadi kerana Ahli Parlimen Kerajaan yang berjumlah lebih 114 orang
gagal hadir secukupnya di dalam dewan.
Menurut Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, kegagalan itu
tidak boleh sama sekali ditolak ke bahu pihak Pembangkang yang enggan menyokong
usul berkenaan.
Katanya, usul tersebut telah dibahaskan dengan baik oleh 16 orang
Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, kemudian digulung oleh Menteri Dalam
Negeri. Pihak Pembangkang meminta untuk Undi Belah Bahagi yang setiap seorang
ahli dewan perlu ditanya pendirian masing masing
"Maka undi belah bahagi dijalankan. Sebelum itu loceng
dibunyikan pertama kali selama 2 minit. Diikuti dengan penangguhan selama 10
minit. Dan loceng kali kedua selama 2 minit. Ini selaras dengan prosedur yang
dipersetujui oleh dewan sebelum ini supaya Ahli-ahli Parlimen boleh hadir ke
dewan untuk mengundi.
"Setelah loceng kedua selesai, maka semua pintu ditutup
semasa undian dilakukan. Mereka yang tiba lewat terutama selepas undian sudah
tentu tidak boleh lagi mengundi.
"Akhirnya keputusan ialah 86 tidak bersetuju dan 84
bersetuju, maka Usul oleh kerajaan ditolak.
"Ini satu tamparan hebat ke atas kerajaan kerana gagal
mendapatkan majoriti mudah terhadap usul walaupun ia bukan usul kewangan dan
tidak membawa kepada hilang kepercayaan kepada kerajaan," katanya.
Walau bagaimanapun, tegas Syed Ibrahim, kegagalan tersebut tidak
bermakna Akta SOSMA terbatal. Cuma tempoh 28 hari tahanan tanpa bicara akan
luput pada 31 Julai 2022 yang akan terjejas.
Katanya, tidak harus ada hujah kononnya keselamatan terjejas atau
pembangkang tidak hiraukan keselamatan kerana masih ada undang-undang lain yang
boleh diguna pakai seperti kanun acara jenayah.
Selain itu, kata Syed Ibrahim lagi, tidak wajar pimpinan Umno
mendakwa kerajaan sudah tidak terikat lagi dengan memorandum persefahaman (MoU)
bersama Pakatan Harapan susulan kegagalan mendapatkan sokongan, kerana MoU
hanya melibatkan usul usul penting kerajaan.
"Ini tidak benar sama sekali (MoU terbatal) kerana usul
tersebut bukan dalam MoU dan tidak dirundingi atau dipersetujui secara bersama
pada dasarnya, mengikut Fasal 3.3(b) MoU.
"Pada masa yang sama, peranan pembangkang sebagai suara semak
dan imbang tetap boleh dilaksanakan meskipun ada MoU. Tujuan MoU pun amat jelas
iaitu untuk memastikan manfaat rakyat dan negara secara bersama dalam keadaan
krisis kesihatan serta ekonomi.
"Justeru, saya ingin mengingatkan pemimpin-pemimpin Umno
untuk tidak menangguk di air yang keruh. Bersikap jujurlah dalam menerima
kenyataan bahawa kamu berada bersama-sama dalam kerajaan tetapi telah gagal
menyokong usul (dibawakan kerjaaan)," katanya lagi.