Keluar mengundi rendah jejaskan demokrasi
KEADILAN berlapang dada dengan keputusan Pilihan Raya Negeri Johor semalam yang memenangkan Barisan Nasional.
Menurut Presiden KEADILAN, rakyat Johor telah membuat keputusan dan keputusan tersebut adalah cerminan kemahuan politik mereka.
“Tahniah kepada Barisan Nasional atas kejayaan membentuk kerajaan negeri di Johor.
“KEADILAN akur dengan keputusan yang dibuat rakyat Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun menurut pengerusi Pakatan Harapan itu, peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu hanya separuh daripada pengundi berdaftar amat membimbangkan dan boleh menggugat proses demokrasi melantik kerajaan.
“Kita amat kuathir dengan trend peratusan keluar mengundi yang amat mendukacitakan serta boleh mengugat proses demokrasi,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar tetap menghargai pengorbanan jentera parti dan sesiapa yang bertungkus lumus membantu KEADILAN dalam PRN.
Katanya, strategi kehadapan memerlukan penilaian semula terhadap kerjasama politik bersama parti parti penentang BN.
“Penghargaan saya buat semua pendukung dan jentera KEADILAN serta PH yang berhempas pulas menggerakkan kempen sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Negeri ini.
“Keputusan ini juga ternyata suatu peringatan penting buat parti-parti politik untuk kembali merangkul kekuatan bagi mendepani pilihanraya umum kelak,” katanya lagi.