DAP tekad bina semula PH menuju PRU 15
DAP satu satunya komponen Pakatan Harapan (PH) yang menang agak banyak kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berjanji akan membina semula PH di negeri itu.
Menurut Pengerusi DAP Johor, Liew Ching Tong, Johor perlu dijadikan negeri utama atau pemimpin untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 15 kelak.
“Kita kalah di Yong Peng, Bekok, Paloh dan Pekan Nanas. Kita berlawan sebagai satu pasukan dan menang sebagai pasukan. Untuk ke depan kita bersiap hadapi PRU.
“Kita akan bina semula PH dan DAP (Johor). Kita akan pastikan Johor akan menjadi negeri utama untuk menukar kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang
“Kita akan dapatkan kembali sokongan yang hilang untuk masa hadapan DAP dan PH,” katanya dalam sidang media ringkas malam tadi.
Manakala supremo DAP, Lim Kit Siang yang turut sama dalam sidang media itu berkata, prestasi PH akan lebih baik dan boleh mengekalkan kerusi yang dimenangi sekiranya mempunyai lebih banyak masa berkempen.
“Kalau kita ada (beberapa) minggu ekstra ia boleh selesaikan semua perbezaan (masalah rakyat). Kalau kita ada ekstra minggu Umno tak boleh menang simple majority,” katanya.
DAP menang 10 kerusi dalam PRN semalam, kurang 5 kerusi berbanding Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.