CERTOT LOYAR BERJURUS- EPISOD 28.

 

“Boleh tahan pejabat tuan.” Komen lelaki separuh umur berpakaian korporat di hadapan saya. Matanya melilau-lilau, memerhatikan segenap inci kamar kecil ini. Dia kemudiannya mengangguk-ngangguk, seraya mencebikkan bibir sedikit.

“Don’t worry tuan. Bayaran buka fail RM 3,000 tu, consider it done. Saya mahu adik saya mendapat peguam paling hebat!”. Penuh keyakinan intonasi suara Dato’ X. Adiknya, dihadapkan ke Mahkamah untuk satu kes tipu. Dia sekadar mendiamkan diri, duduk terpaku di sebelah. Urusan perlantikan peguam, diserahkan bulat-bulat kepada abangnya yang penuh karisma ini.

Sebelum beredar, Dato’ X sempat bertanya dengan nada serius. “Saya ada satu projek akan masuk payment 300 juta. Boleh saya park dalam akaun ofis tuan? Sudah tentu bahagian tuan ada, lumayan!” Nampaknya nilai subject matter telah meningkat dengan drastiknya. Daripada beberapa ribu melonjak ke ratusan juta!

Saya berfikir sejenak. Dua saat secara tepatnya. Sifir ini selalu saya amalkan. Dalam menerima sesuatu berita, tidak salah menilainya terlebih dahulu. Waima sekadar dua saat cuma. Lagipun, apa yang dilontarkan itu, begitu menggiurkan. Too good to be true.

“Tak apa. Yang penting fokus kepada kes adik Dato’. Tarikh sebutannya pun dah tak lama. Thanks but no thanks.” Saya menolak dengan cara baik tapi sedikit tegas. Umpama cakar penolak awan dalam komik lagenda, Pedang Setiawan. Menghalang potensi masalah, sedari awal kemunculannya.

Tawaran tadi memang meragukan. Disaluti unsur pengubahan wang haram. Akaun peguam, seperti digunakan untuk mencuci wang yang melampau nilainya. Sounds familiar bukan? ‘Impressed sangat ke dia, sampai offer benda tak masuk akal?’ Persoalan yang muncul tiba-tiba.

Minggu berganti minggu, tiada berita yang kunjung tiba. Samada jumlah berjuta atau yuran guaman yang sekelumit saja. Kedua-duanya menerima nasib yang sama. Hilang lenyap ditelan janji yang melangit. Saya menzahirkan kesyukuran. ‘Aku terselamat daripada kes yang bakal mengundang masalah.” Prinsip yang saya sematkan kemas di dada. Terlepasnya kes, mungkin bermakna terlerainya kita daripada bencana.

“Saya sangat yakin dengan dengan rekomendasi tentang tuan. Bukan calang-calang lawyer! Mesti lepaslah saya sebab lantik tuan lawyer!” Satu lagi kes menjengah pejabat. Sedikit berbeza daripada kes tawaran berjuta sebelumnya. Namun, ada satu indikator yang saling tak tumpah.

Kata-kata yang dilafazkan oleh anak guam, seperti pernah didengar. Sifatnya berlebih-lebihan. Luar sangat daripada kebiasaan. Déjà vu. Adakah episod lalu bakal berulang? Minda separa sedar saya bangun dengan sendirinya. Mode berhati-hati, segera saya aktifkan.

“Tuan tak payah datang bicara kes saya. Pengadu dah tarik balik kes. Saya yang uruskan sendiri.” Dengan selamba anak guam bertuah, memberi arahan terkini. Rupa-rupanya dia telah bertindak sendiri di belakang. Amaran Mahkamah agar tidak mengganggu saksi, jelas dia telah melanggarnya.

Sejak hari pertama dia melantik kami, pelbagai masalah timbul. Perangai, keras kepala dan liat membayar yuran guaman. Senarainya agak panjang, bagi satu kes yang tidaklah sesukar mana. Walaupun ada baki yuran yang tertunggak, saya segera menutup rapi fail bermasalah ini. Saya mengukir senyuman kelegaan. Terlepas lagi, daripada keserabutan.

Berhati-hati dalam menilai, tidak pernah ada ruginya. Sedikit buruk sangka, mungkin perlu pada ketikanya. Lebih baik berurusan dengan mereka yang jujur, walau pahit dalam berkata-kata. Berbanding yang sekadar manis mulutnya, zahir di bibir saja.

#certotloyarberjurus

#peguamkriminal

*********************************

Buku sulung tulisan saya, Peguam Kriminal boleh ditempah di shopee;

https://shopee.com.my/product/129036619/4478416859...

Cerita kontot (certot) di atas bukan sebahagian daripada buku Peguam Kriminal. Namun, jika ada rezki, bakal dibukukan di masa depan. InsyaAllah.

Terima kasih atas sokongan semua.